Pegawai makmal ditipu RM31,910

Noorzainy
Noorzainy
A
A
A
KEPALA BATAS - Seorang pegawai makmal sebuah kilang mengalami kerugian RM31,910 selepas terpedaya dengan sindiket penipuan pinjaman tidak wujud sejak Julai lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 45 tahun itu terbaca iklan pinjaman wang dalam Facebook yang menawarkan pinjaman wang dengan kadar yang rendah.

Menurutnya, mangsa kemudiannya telah mengisi beberapa maklumat di dalam laman iklan tersebut.

"Selepas mengisi maklumatnya, mangsa menerima pesanan ringkas daripada seorang individu tidak dikenali memperkenalkan diri sebagai ejen pinjaman wang.

"Selepas beberapa perbincangan, mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman berjumlah RM10,000. Dia bagaimanapun diminta membuat beberapa transaksi untuk urusan pemprosesan pinjaman," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.
Artikel Berkaitan:


Beliau berkata, mangsa hanya sedar ditipu apabila diminta untuk terus membuat bayaran lagi selain menceritakan perkara itu kepada rakannya.

"Rakan mangsa memberitahu bahawa dia telah terperangkap dengan sindiket Macau Scam. Mangsa kemudiannya telah membuat laporan polis untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu,” katanya.