Lelaki khayal mengamuk

Keadaan rumah dan motosikal yang dirosakkan suspek dalam kejadian petang semalam.
Keadaan rumah dan motosikal yang dirosakkan suspek dalam kejadian petang semalam.
A
A
A

KEPALA BATAS - Seorang lelaki ditahan selepas mengamuk dengan memecahkan cermin tingkap rumah selain merosakkan sebuah motosikal di sebuah rumah kampung di Lembah Raja Pinang Tunggal di sini petang semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, lelaki berusia 34 tahun itu ditahan berdekatan rumahnya pada jam 8 pagi tadi dalam keadaan khayal kerana pengambilan dadah.

Menurutnya, terdahulu pihaknya menerima laporan polis berhubung kejadian tersebut yang dibuat abang kandung suspek yang berusia 45 tahun.

Katanya, dalam kejadian jam 1.34 petang itu, suspek disedari mengamuk oleh salah seorang adiknya yang ketika itu sedang tidur di sofa dalam rumah tersebut.

"Suspek tinggal bersama abang dan dua adiknya di rumah tersebut selepas kedua-dua ibu bapa mereka meninggal dunia. Ketika kejadian, abang dan seorang lagi adiknya tiada di rumah kerana bekerja.

"Kejadian amuk itu disedari seorang adik mereka yang sedang tidur. Menurutnya, suspek telah memecahkan cermin tingkap keliling rumah dengan membaling batu dan motosikal Kriss Modenas milik arwah bapa mereka membabitkan kerugian RM1,000," katanya ketika dihubungi Sinar Harian tadi.

Noorzainy berkata, selepas kejadian, suspek melarikan diri dan tidak pulang ke rumah.

Beliau berkata, bimbang perkara tidak diingini berlaku kerana suspek agresif, abang mangsa yang bekerja sebagai pekerja kontrak telah membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

"Kejadian tidak melibatkan kecederaan. Kesemua mereka tidak pasti sebab suspek mengamuk namun percaya, ia disebabkan oleh pengambilan dadah. Suspek baru keluar dari penjara lima hari lalu kerana kesalahan dadah.

"Suspek sering keluar masuk penjara di atas kesalahan sama. Semakan mendapati, suspek mempunyai tujuh rekod lampau melibatkan empat kes dadah dan tiga kes jenayah," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan perbuatan khianat ke atas harta benda.