'Kali ini tolonglah buat sampai jadi'

Penempatan generasi kedua yang memuatkan lebih 100 buah rumah. Gambar kecil: Aziz, Saad dan Fatin Humaira
Penempatan generasi kedua yang memuatkan lebih 100 buah rumah. Gambar kecil: Aziz, Saad dan Fatin Humaira
A
A
A

TANJUNG MALIM - Peneroka di lima tanah rancangan Felda Besout di sini berharap kerajaan serius menyelesaikan isu perumahan generasi kedua di kawasan itu selepas lebih enam tahun tertangguh.

Projek perumahan yang dibina di Felda Besout 2 membabitkan kira-kira 100 rumah itu dikatakan sudah tertangguh beberapa kali kerana perubahan pentadbiran kerajaan.

Peneroka generasi pertama, Aziz Talib, 65, dari Felda Besout 2, berkata, permohonan pertama dibuat ketika pentadbiran Barisan Nasional (BN) disusuli kerajaan Pakatan Harapan (PH) namun kedua-duanya tiada maklum balas.

Katanya, terbaharu pada bulan lalu apabila borang sama dikeluarkan kepada setiap peneroka untuk tujuan permohonan rumah generasi kedua.

"Baik zaman BN mahupun PH, borang diisi dan dihantar tetapi bila kerajaan saling bertukar, permohonan dibatalkan.

"Kami harap ada khabar gembira di bawah kerajaan Muafakat Nasional dan Perikatan Nasional. Kami mahu permohonan kali ini benar-benar diluluskan," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini.

Projek perumahan yang dilengkapi tiga bilik dan dua bilik mandi itu dikatakan sudah 90 peratus siap dan hanya memerlukan kerja-kerja kecil penyelenggaraan.

Artikel Berkaitan:

Keadaan projek perumahan generasi kedua yang dikatakan sudah siap 90 peratus.
Keadaan projek perumahan generasi kedua yang dikatakan sudah siap 90 peratus.

Seorang lagi peneroka, Saad Sabri, 69, dari Felda Besout 1 mendakwa, penangguhan dan kelewatan kelulusan itu menyebabkan masih ramai generasi kedua hidup menumpang di kediaman ibu bapa masing-masing.

Menurutnya, keadaan itu sudah pasti mengundang rasa tidak selesa apatah lagi bagi mereka yang telah berkeluarga.

"Mana lagi anak-anak Felda di sini nak cari penempatan kalau bukan dengan mengharapkan projek perumahan seperti ini.

"Ada juga antara mereka membina rumah dengan menumpang di tanah yang sama rumah ibu bapa masing-masing tetapi bukan semua tempat sesuai untuk dibina rumah," katanya.

Said Ishak, 70, dari Felda Besout 3 berkata, seorang daripada tujuh anaknya ada membuat permohonan bagi mendapatkan rumah generasi kedua itu.

Said mengharapkan permohona projek perumahan generasi kedua kali ini berjaya direalisasikan.
Said mengharapkan permohona projek perumahan generasi kedua kali ini berjaya direalisasikan.

Katanya, setiap keluarga peneroka layak untuk memohon satu unit rumah dan sekiranya diluluskan, rumah itu boleh diduduki seawalnya tahun depan.

"Anak saya sekarang duduk di luar dan dia memang berhasrat untuk tinggal di sini bersama keluarganya tetapi tangguh sehinggalah dapat kelulusan perumahan ini," katanya.

Difahamkan anak Felda yang layak dalam permohonan itu akan ditawarkan pemilikan rumah melalui 'sewa-jual' selama 60 bulan atau lima tahun pada kadar RM300 hingga RM500 bergantung kedudukan rumah dan selepas itu surat tawaran membeli rumah diserahkan kepada pemohon.

Peneroka, Zainal Abidin Mat Noor, 58, juga bimbang dengan masa depan generasi baharu Felda yang majoritinya masih belum memiliki rumah sendiri.

Zainal Abidin
Zainal Abidin

"Memang isu penempatan ini sering dibangkitkan penduduk dan kita harap masalah ini dapat didengar dan diselesaikan segera," katanya.

Fatin Humaira Nor Hisham, 28, dari Felda Besout 1 pula berharap kerajaan memperbanyakkan lagi projek perumahan bagi memenuhi keperluan generasi baharu Felda.

Fatin Humaira yang sudah berkahwin dan memiliki seorang anak masih tinggal bersama kedua ibu bapanya dan menyara keluarga dengan berniaga bersama suami di situ.

"Kalau diberi pilihan memang kita mahu tinggal rumah sendiri, sekarang ini memang masih ramai yang tinggal bersama ibu bapa masing-masing, kerana itu kita harap kerajaan dapat bantu generasi kedua dan ketiga Felda dengan menyediakan lebih banyak penempatan baru," katanya.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed memaklumkan bahawa kerajaan akan meneruskan projek perumahan generasi kedua Felda meskipun perlu menyalurkan subsidi yang besar dalam kekangan kewangan sekarang.