Pemimpin DAP bantu kempen calon Bebas

Sivanesan (dua dari kiri) dan Kula Segaran (tengah) menyerahkan kerusi roda untuk digunakan Munusamy sambil diperhatikan Amir Khusyairi ketika berkempen di Kampung Hendra Lama, kelmarin.
Sivanesan (dua dari kiri) dan Kula Segaran (tengah) menyerahkan kerusi roda untuk digunakan Munusamy sambil diperhatikan Amir Khusyairi ketika berkempen di Kampung Hendra Lama, kelmarin.
A
A
A

TANJUNG MALIM - DAP mengotakan janji untuk membantu calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.

Naib Presiden DAP, M Kula Segaran dan Naib Pengerusi DAP Perak, A Sivanesan antara pemimpin yang bersama-sama memberikan sokongan kepada calon.

Dalam satu program di Kampung Hendra Lama di sini, kelmarin, kedua-dua mereka bersama calon mengadakan ceramah berkelompok di sebuah dewan berdekatan yang turut dihadiri lebih 20 masyarakat India.

Pada program itu juga turut diadakan penyampaian kerusi roda kepada seorang penduduk kurang upaya yang diterima oleh anaknya.

Penerima kerusi roda tersebut, M Munusamy, 77, yang ditemui Sinar Harian mengakui gembira dengan pemberian tersebut.

Dia yang juga pengundi di DUN Slim berkata, kelumpuhan akibat strok dialami sejak sembilan tahun yang lalu menyebabkan dia tidak boleh bergerak.

"Selama ini saya tidak pernah menerima apa-apa bantuan daripada mana-mana pihak kerana mereka mengatakan saya tidak layak. Terima kasih kepada wakil rakyat yang menyumbang kerusi roda ini kepada saya.

"Anak saya sudah membuat permohonan untuk mendapatkan kad orang kurang upaya (OKU) dan saya akan terima tidak lama lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengenai calon yang bertanding pada PRK DUN Slim, Munusamy berharap agar mana-mana calon yang menang nanti akan memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat.

Dalam pada itu, gambar-gambar dan video program kempen PRK DUN Slim serta majlis penyerahan itu turut dimuat naik ke dalam Facebook Kula Segaran.

Sebelum ini, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke ketika berucap pada Majlis Memperkenalkan Calon N.58 Slim pada 12 Ogos lalu, beliau memberikan jaminan bahawa parti itu akan membantu calon Bebas yang mewakili Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang).