Ahli Parlimen Amanah tak kebulur: Mujahid

Mujahid menyampaikan ceramah ketika membantu kempen calon Bebas, Amir Khusyairi di Felda Gunung Besout 4, malam tadi.
Mujahid menyampaikan ceramah ketika membantu kempen calon Bebas, Amir Khusyairi di Felda Gunung Besout 4, malam tadi.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Parti Amanah Negara (Amanah) yakin tiada ahli Parlimen mereka yang melompat parti menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Naib Presidennya, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, tidak ada sebab wakil rakyat mereka menyertai parti yang tidak ada masa depan dan mengkhianati mandat rakyat.

Beliau berkata, ramai ahli Bersatu yang keluar parti ketika ini untuk menyertai Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan mustahil wakil rakyat Amanah mahu menyertai Bersatu.

"Saya kecewa nama saya dan Ahli Parlimen Sepang, Hanipa Maidin tak masuk dalam senarai enam orang yang dikatakan keluar itu, mungkin sebab dari dulu mereka panggil khadam DAP.

"Saya yakin enam orang wakil rakyat ini tak 'kebuluq' nak masuk Bersatu. Siapa nak masuk Bersatu hari ini orang pakat keluar berduyun-duyun. Siapa nak masuk Bersatu? Bersatu ini dia tak akan ke mana," katanya ketika menyampaikan ceramah di Felda Gunung Besout 4, Sungkai di sini malam tadi.

Hadir sama pada ceramah tersebut, Hanipa, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Behrang, Aminuddin Zulkifli dan calon Bebas, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi.

Mujahid berkata, Bersatu merupakan parti yang tiada nilai kerana hanya mengharapkan belas kasihan UMNO dan Pas.

Malah katanya, parti yang dipimpin Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu sedang menunggu masa untuk dibubarkan dan kesemua ahli serta pemimpin akan menyertai UMNO semula.

Artikel Berkaitan:

Dalam satu laporan portal semalam, enam Ahli Parlimen Amanah dikatakan akan keluar parti menyertai Bersatu untuk menyokong Muhyiddin dalam masa terdekat.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung Amanah, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli menafikan dakwaan portal berkenaan.