YPJ salur RM299.5 juta pinjaman pendidikan

Hasni Mohammad
Hasni Mohammad
A
A
A

JOHOR BAHRU - Yayasan Pelajaran Johor (YPJ) menyalurkan RM299.5 juta bantuan pinjaman pendidikan kepada 22,432 penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dalam dan luar negara sejak 1979 hingga Disember tahun lalu.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, bagi tahun ini pula sejumlah RM1.5 juta diberikan kepada 340 penuntut.

"Kerajaan negeri Johor memberi keutamaan dalam membantu seramai mungkin rakyat, khususnya golongan belia untuk menyambung pendidikan ke peringkat lebih tinggi.

"Justeru, sejak 1979 menerusi YPJ, kerajaan negeri menawarkan beberapa jenis bantuan pinjaman pendidikan bagi rakyat yang melanjutkan pendidikan ke IPT awam dan swasta terpilih serta universiti di luar negara," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya, bagi kursus diploma di IPT awam, pinjaman sebanyak RM6,000 diberikan setahun untuk tempoh pengajian tiga tahun manakala RM7,000 setahun untuk tempoh pengajian empat tahun bagi kursus Ijazah Sarjana Muda.

Bagi pengajian kursus diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan politeknik pula, beliau berkata, pinjaman diberikan adalah RM4,000 setahun bagi tempoh pengajian tiga tahun dan kursus Ijazah Sarjana Muda RM6,000 setahun bagi tempoh pengajian empat tahun.

"Ini termasuk RM6,000 setahun untuk tempoh pengajian tiga tahun bagi kursus diploma di Kolej Pengajian Islam Johor (Marsah)," ujarnya.

Menteri Besar berkata, dana bantuan pendidikan itu adalah terhad berdasarkan peruntukan yang ditetapkan setiap tahun.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, bagi menghargai usaha serta pengorbanan para penuntut dalam pengajian mereka, YPJ juga akan menukarkan pinjaman tersebut menjadi biasiswa sekiranya mendapat keputusan cemerlang, iaitu kelas pertama.

Selain pinjaman katanya, YPJ turut memberikan Skim Bantuan Pendaftaran bagi penuntut baharu sebanyak RM500 bagi peringkat diploma dan RM1,000 bagi Ijazah Sarjana Muda.

Menurutnya, kerajaan negeri sedar rakyat mengharungi pelbagai masalah akibat koronavirus (Covid-19) yang menyebabkan ramai ibu bapa kehilangan sumber pendapatan.

Justeru katanya, kerajaan negeri berharap bantuan pinjaman YPJ itu sedikit sebanyak membantu meringankan beban kewangan anak-anak Johor yang mengikuti pengajian masing-masing.

Tambahnya, sebarang maklumat lanjut mengenai pinjaman pendidikan dan skim bantuan pendaftaran pendidikan tersebut boleh diperoleh menerusi laman web www.ypj.gov.my.