Normal baharu hijrah rakyat perangi Covid-19

Dr Noor Hisham bergambar selepas dikurniakan sebagai Tokoh Maal Hijrah yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M di Masjid Negara malam ini. Foto Bernama
Dr Noor Hisham bergambar selepas dikurniakan sebagai Tokoh Maal Hijrah yang disampaikan oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis sambutan Ma'al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M di Masjid Negara malam ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Adaptasi normal baharu dalam kalangan rakyat merupakan satu penghijrahan terbaik, dalam usaha negara memerangi penularan wabak Covid-19, kata Tokoh Maal Hijrah Kebangsaan 2020/1442 Hijrah, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Ketua Pengarah Kesihatan itu menyifatkan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan seperti penjarakkan fizikal, memakai pelitup muka dan kerap mencuci tangan adalah kaedah terbaik dalam mengubah kehidupan rakyat kepada yang lebih baik.

“Kalau kita lihat cara kita menyambut Maal Hijrah tahun 1442 adalah sangat berbeza dengan menggunakan normal baharu dan kaedah baharu inilah adalah satu hijrah iaitu cara kita mengubah kehidupan kita daripada yang kurang bagus kepada yang lebih bagus.

“Jadi dengan SOP yang telah kita jalankan dan kita maklumkan kepada rakyat untuk patuh, bukan hanya Covid-19, kita lihat penyakit berjangkit juga berkurangan, iaitu penyakit campak serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) berkurangan sehingga 60 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar, selepas menerima anugerah tersebut daripada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah pada majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Kebangsaan di Masjid Negara di sini malam ini.

Jelas Dr Noor Hisham, SOP yang diguna pakai kini sebenarnya telah diamalkan pada zaman tokoh perubatan Islam, Ibnu Sina lagi sebagai contoh mengetatkan kawalan sempadan dan elakkan mengadakan perhimpunan besar dan tidak bersalaman ketika dilanda wabak.

Beliau percaya sekiranya rakyat patuh dengan SOP tersebut, negara mampu memutuskan penularan Covid-19 walaupun masih tiada vaksin ditemui pada masa ini sama seperti yang mampu dilakukan negara ketika berdepan dengan penularan SARS dan Mers-CoV.

“Sebagai seorang pakar bedah saya mungkin boleh menyelamatkan satu nyawa pada satu masa tetapi dalam pentadbiran iaitu kesihatan awam, kalau perancangan kita betul kita boleh menyelamatkan satu negara.

Artikel Berkaitan:

“Jadi inilah tanggungjawab yang kita galas bersama di Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), bekerja sebagai satu pasukan dan juga bekerjasama dengan kementerian lain. Kita menggunakan ‘whole goverment and whole society approach’ dan saya menyeru kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama membantu negara kita daripada Covid-19,” katanya.

Pada sambutan tahun ini yang bertemakan ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ itu, Al-Sultan Abdullah turut berkenan menganugerahkan Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa kepada Syeikh Al-Azhar Al-Syarif, Syeikh Profesor Dr Ahmad Tayyib.

Beliau yang tidak dapat menghadiri majlis itu diwakili oleh Duta Besar Mesir ke Malaysia, Gamal Abdel Rahim Mohamed Metwally.

Terdahulu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri yang mengumumkan tokoh tersebut turut membacakan ucapan terima kasih Syeikh Ahmad Tayyib kepada kerajaan Malaysia atas penghormatan yang diberikan. -Bernama