Konvoi Merdeka edar Jalur Gemilang semarak semangat patriotisme

Mohd Azuan membuat pelepasan peserta pada Konvoi Merdeka di hadapan SMK Seri Desa, Tanjong Karang semalam.
Mohd Azuan membuat pelepasan peserta pada Konvoi Merdeka di hadapan SMK Seri Desa, Tanjong Karang semalam.
A
A
A

TANJONG KARANG - Seramai 70 anggota Pemuda UMNO Bahagian Tanjong Karang dan Gerakan Belia 4B Tanjong Karang menyertai Program Konvoi Semarak Jalur Gemilang di hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Desa di sini semalam.

Ketuanya, Datuk Mohd Shahrizal Sahri berkata, program konvoi yang bermula dari jam 9.30 pagi dan berakhir jam 3 petang itu diadakan bagi menyatakan semangat patriotisme kepada negara yang akan menyambut Hari Kemerdekaan ke-63 pada bulan ini.

Menurutnya, konvoi yang disertai 15 kenderaan pacuan empat roda itu akan menjelajah di 13 agensi kerajaan di Parlimen Tanjong Karang.

“Dalam program ini, kita akan serahkan Jalur Gemilang kepada agensi kerajaan berkaitan antaranya di Balai Polis Tanjong Karang, Balai Bomba dan Penyelamat Tanjong Karang, Jabatan Pertanian dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

“Agensi lain yang kami singgah ialah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi),” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Pelepasan Konvoi Merdeka yang disempurnakan Pegawai Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Mohd Azuan Mohd Nawawi.

Mohd Shahrizal berkata, penyerahan Jalur Gemilang membabitkan agensi kerajaan diharap dapat menyemarakkan lagi sambutan ulang tahun kemerdekaan negara.

“Kita ingin menggalakkan kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kita menghormati dan menyayangi negara ini.

Artikel Berkaitan:

“Kita tidak mahu bendera yang menjadi lambang kedaulatan negara dipandang seperti kain buruk atau sekadar kain bercorak semata-mata, sebaliknya ia mempunyai nilai tersendiri dalam membangkitkan rasa cinta kepada negara,” katanya.

Sementara itu, Mohd Azuan berkata, program konvoi itu membuktikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dapat melahirkan belia lepasan sekolah yang mempunyai semangat jati diri dan cintakan tanah air.

Katanya, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kuala Selangor sentiasa menggalakkan kerjasama antara pihak sekolah dengan komuniti luar.

Bagaimanapun, beliau berkata, pada masa ini pihak sekolah masih tidak dibenarkan menjalankan sebarang program dengan pihak luar di dalam kawasan sekolah sepanjang tempoh fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga 31 Ogos ini.

Dalam pada itu, katanya, semua sekolah di PPD Kuala Selangor digalak untuk mengibarkan Jalur Gemilang bermula 16 Ogos lalu.

“Selain itu, bagi menyemarak semangat kemerdekaan di peringkat sekolah, kita juga mengadakan pertandingan berkaitan dengan tokoh-tokoh kemerdekaan dan sejarah kemerdekaan negara, tetapi pertandingan itu diadakan melalui secara dalam talian,” katanya.