Susah nak dapat kerja sebab tak ada ‘kabel’

No Image Caption
A
A
A

NAK kerja sekarang kena ada ‘kabel’. Kalau tak ada ‘kabel’ memang susah nak dapat kerja. Tambah-tambah lagi nak kerja waktu sekarang, dah hantar 10 resume sekalipun belum tentu ‘sangkut’.

Itu adalah antara luahan sahabat yang Merak Jalanan temui pada malam minggu lalu. Berborak sakan kami selepas lama tak berjumpa. Maklumlah, sejak Merak Jalanan tinggalkan syarikat lama, memang lama kami tak bersua muka.

Bila dah jumpa, banyaklah benda nak dibualkan. Tapi dalam rancak-rancak kami bersembang, topik kerja jadi perbualan hangat kami. Daripada cerita nak kerja makan gaji sampailah impian nak menggajikan orang.

Tapi bila difikir balik apa yang dikatakan sahabat Merak Jalanan tadi, mungkin ada juga benarnya. Nak kerja sekarang, apatah lagi dalam situasi negara dilanda krisis pandemik Covid-19, memang susah.

Kecuali kalau kita sendiri tak memilih kerja. Sambar saja peluang kerja depan mata. Soal akademik atau pengalaman mungkin kena tolak tepi dulu, yang penting ada kerja.

Berbalik kepada cerita sahabat Merak Jalanan tadi, bersungguh-sungguh dia mempertahankan hujahnya iaitu nak kerja kena ada ‘kabel’ atau ‘orang dalam’. Melihatkan reaksinya, Merak Jalanan tumpang simpati.

Mana tidaknya, dalam tempoh hampir dua tahun, sahabat Merak Jalanan itu masih tiada kerja tetap. Namun alhamdulillah, dia masih mampu menyara isteri dan anak-anaknya dengan berniaga kecil-kecilan.

Katanya, setakat ini cukuplah untuk belanja mereka anak beranak. Tetapi jauh di sudut lubuk hatinya, Merak Jalanan tahu dia masih berharap untuk kembali memegang jawatan yang pernah disandangnya sebelum ini.

Artikel Berkaitan:

Sudah pasti, cerita sahabat Merak Jalanan ini pernah dialami atau sedang dialami ramai di luar sana. Apa yang penting, jangan pernah kenal erti putus asa dan berdoa. Insya-ALLAH ada jalannya satu hari nanti.