Cabaran geopolitik Sabah

No Image Caption
A
A
A

MENJELANG sambutan Hari Kemerdekaan penghujung bulan ini, rakyat Sabah berdepan dengan beberapa cabaran dimensi geopolitik yang berbeza. Umum mengetahui bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) telah menetapkan tarikh 26 September 2020 sebagai tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Berdasarkan Daftar Pemilih Induk 2019 dan Daftar Pemilih Tambahan ST 1 2020 (dikemaskini sehingga 29 Julai 2020), terdapat kira-kira 1.12 juta orang pemilih yang layak untuk mengundi dalam PRN Sabah kali ini. Namun, dalam masa sama rakyat Sabah berdepan beberapa cabaran geopolitik lain yang perlu diberi pertimbangan sewajarnya – tuntutan kerajaan Filipina, kenyataan Kesultanan Sulu, serta tuntutan China ke wilayah perairan kita di barat dan utara Sabah.

Pada 27 Julai lalu, Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Teodoro Locsin Jr mendakwa Sabah sebagai bukan milik Malaysia sekaligus mengundang reaksi balas Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang mengarahkan Wisma Putra untuk memanggil Duta Besar Filipina di Kuala Lumpur bagi menjelaskan kenyataan yang menyentuh mengenai kedaulatan Malaysia.

Hishammuddin menyifatkan dakwaan Locsin itu sebagai ‘satu kenyataan yang tidak bertanggungjawab’. Bagaimanapun, kontroversi tuntutan Filipina ke atas Sabah sebenarnya tidak pernah berakhir dan Presiden Filipina, Rodrigo Duterte sendiri pada tahun 2016 meluahkan niatnya meneruskan tuntutan ke atas Sabah.

Lebih memburukkan keadaan adalah kenyataan Setiausaha Agung Kesultanan Sulu, Abraham Idjirani baru-baru ini bahawa mereka sedang mengusahakan tuntutan sama ke atas Sabah dengan tidak kurang 200 orang penceroboh Sulu yang terlibat menyerang Lahad Datu pada tahun 2013 sudah kembali.

Mereka turut dilaporkan sedang dalam proses menggerakkan sokongan 1 juta warga Sulu di Sabah. Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2018 Siri 3 pada Julai lalu pula mendedahkan tentera laut China serta kapal pengawal pantai mereka berterusan menceroboh perairan negara sebanyak 89 kali dari tahun 2016 hingga 2019.

Peta China yang dikeluarkan Beijing pada 2009 itu jelas menceroboh Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) Malaysia di mana Garis Keempat menceroboh perairan Bintulu dan Miri di Sarawak manakala Garis Kelima menerobos jauh dari perairan berhampiran Beaufort, Papar, Kota Kinabalu, Kota Belud dan Kudat, Sabah.

Unik

Artikel Berkaitan:

Ternyata, cabaran geopolitik Sabah cukup unik dan kompleks. Maka tidak hairanlah apabila kerajaan Persekutuan sebelum ini bukan sahaja bertindak menubuhkan Zon Keselamatan Pantai Timur Sabah (ESSZONE), Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah, serta memperkasakan Pangkalan TLDM Teluk Sepanggar, tetapi turut menggubal Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016.

Dalam erti kata lain, bagi mengekalkan kestabilan politik negara amnya dan Sabah khususnya, aspek koordinasi pasukan keselamatan adalah cukup kritikal.

Secara kebetulan, kerajaan Perikatan Nasional pada 18 Ogos baru-baru ini turut membentangkan semula Rang Undang-Undang (RUU) untuk meminda Akta Majlis Keselamatan Negara yang pertama kali dibentangkan oleh kerajaan Pakatan Harapan tahun lalu.

RUU MKN yang baru ini mengekalkan semua pindaan yang dicadangkan oleh PH, termasuk menggantikan kuasa untuk mengisytiharkan zon darurat daripada Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong setelah menerima nasihat majlis berkenaan.

Melihatkan terdapat begitu banyak cabaran luar yang boleh menggugat kedaulatan Sabah – terutama daripada pihak yang jelas cuba menangguk di air keruh susulan pembubaran DUN Sabah – langkah menyegerakan RUU MKN ini adalah satu tindakan yang cukup strategik.

Buat rakyat Sabah, mereka bebas untuk mengundi mana-mana parti politik pilihan mereka dalam PRN yang akan datang. Apa yang penting, jangan jadikan PRN Sabah ini sebagai ruang kepada perpecahan dalaman yang bakal menggugat kedaulatan negara.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda