Suka menabung dan bersederhana

A
A
A

DALAM al-Quran, banyak kisah silam yang ALLAH bentangkan untuk kita jadikan sebagai renungan dan mengambil pengajaran daripadanya. Satu kisah menarik yang saya ingin bawakan dalam tulisan kali ini ialah kisah dalam Surah Yusuf.

Dalam ayat 43, dinyatakan seorang raja telah bermimpi tujuh ekor lembu betina yang gemuk memakan tujuh lembu betina yang kurus dan tujuh tangkai gandum yang hijau serta tujuh tangkai gandum yang kering.

Mimpi yang dialami oleh raja tersebut telah dijelaskan maknanya oleh Nabi Yusuf sebagaimana dalam ayat 47 yang bermaksud: “Yusuf berkata: Supaya kamu bertanam tujuh tahun (lamanya) sebagaimana biasa; maka apa yang kamu tuai hendaklah kamu biarkan ditangkainya kecuali sedikit untuk kamu makan.”

Sebenarnya banyak yang kita boleh ambil iktibar daripada kisah di atas. Tetapi dalam tulisan ini saya ingin sebutkan dua bentuk pengajaran yang kita semua perlu ambil perhatian terutama dalam situasi sekarang. Semua kita maklum bahawa sekarang ini di seluruh dunia mengalami pertumbuhan ekonomi yang amat tidak memberangsangkan.

Di Malaysia sendiri, kadar pertumbuhan ekonomi mengalami penguncupan sebanyak 17.1 peratus pada suku kedua tahun ini. Situasi itu perlu diambil perhatian oleh semua pihak termasuk kita sebagai rakyat.

Pengajaran pertama yang dapat kita ambil daripada kisah di atas ialah pentingnya simpanan atau tabungan. Dalam kehidupan kita, pasti akan ada pasang surutnya. Itulah lumrahnya.

Perancangan yang baik dalam mengurus harta akan dapat membantu kita untuk menghadapi situasi kecemasan seperti krisis kewangan misalnya.

Hasil pemerhatian saya kepada gaya hidup anak muda zaman sekarang amat membimbangkan. Mereka lebih suka memilih untuk hidup dengan gaya mewah daripada berjimat cermat. Gaji yang diperolehi digunakan untuk membeli kereta idaman dan sebagainya sedangkan keadaan kewangan mereka masih belum stabil.

Artikel Berkaitan:

Sepatutnya, daripada awal lagi, gaji yang diperoleh tidak digunakan untuk bermewah sekiranya simpanan belum ada. Sewajarnya mereka mengamalkan ‘ukur baju di badan sendiri’. Jangan terpengaruh dengan gaya hidup orang lain. Ini kerana, jika berlaku sesuatu pada masa hadapan, kita sendiri yang akan menanggungnya. Belum pasti ada orang yang sanggup membantu kita pada saat kita tersungkur.

Pengajaran kedua yang kita boleh ambil daripada kisah di atas ialah perbelanjaan hendaklah berdasarkan keutamaan dan keperluan. Dengan kata lain, kita sentiasa mengamalkan sifat berjimat cermat.

Islam amat menggalakkan kita sentiasa bersederhana dalam semua aspek kehidupan kita. Pada saat kita mewah, janganlah kita membelanjakannya secara tidak berhemah. Jangan kita membeli sesuatu melainkan mengikut keutamaan dan keperluan.

Sifat bersederhana dan berhemah dalam perbelanjaan akan dapat membantu kita pada masa hadapan terutama apabila berada dalam saat kesukaran sebagaimana hari ini sejak dunia dilanda wabak Covid-19. Moga kita ambil pengajaran daripada pengalaman lalu untuk membina kehidupan pada masa hadapan.

Sesetengah orang sangat mudah terpengaruh dengan iklan. Dalam dunia digital hari ini, setiap hari pelbagai iklan akan lalu di hadapan mata kita. Jika kita tidak mengambil berat tentang perlunya membeli apa yang utama dan perlu sahaja, tentu sekali semua benda kita ingin miliki.

Akhir kalam, marilah sama-sama kita membina sikap suka menabung dan membelanjakan harta kita secara berhemah.

Latihlah anak-anak kita dengan gaya hidup yang sederhana agar mereka terbiasa dengannya dan menjadikannya sebagai budaya dan gaya hidup mereka sepanjang hayat.

* Dr Shamsiah Mohamad berpengalaman sebagai penyelidik isu-isu kewangan Islam dan Syariah