Agong, Permaisuri berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah

KUALA LUMPUR, 19 Ogos -- Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan berangkat ke majlis sambutan Ma’al Hijrah Peringkat Kebangsaan Tahun 1442H/2020M di Masjid Negara hari ini. Mengiringi baginda ialah Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin (depan, kanan) dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri (dua, kiri). - Foto Bernama

A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis sambutan Maal Hijrah peringkat Kebangsaan 2020/1442 Hijrah di Masjid Negara malam ini.

Keberangkatan tiba Seri Paduka berdua pada 6.30 petang itu disambut Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Turut hadir isteri perdana menteri, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan isteri Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datin Seri Dr Shereen Mohd Yunos.

Majlis yang dipimpin Imam Sudais Malaysia Ustaz Syukri Ali dimulakan dengan bacaan ayat suci al-Quran sebelum diteruskan dengan bacaan Yasin, tahlil, doa selamat dan doa akhir dan awal tahun oleh Imam Besar Masjid Negara Ehsan Mohd Hosni dan diikuti solat Maghrib berjemaah.

Zulkifli dalam ucapannya pada majlis itu, berkata tema sambutan Maal Hijrah tahun ini iaitu ‘Ummah Rabbani Negara Harmoni’ membawa mesej penting yang perlu dihayati bersama.

Katanya, mesej tersebut amat bermakna dalam negara dan umat Islam seluruh dunia sedang berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19).

“Moga dengan semangat hijrah ini, kita jelmakan dalam mengharungi hari-hari mendatang dengan norma baharu, yang berbeza dengan hari sebelumnya.

“Sayugianya bagi insan yang bercirikan rabbani, semua itu tetap cekal digagahi demi mencapai reda ilahi,” kata Zulkifli.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, para hadirin mengikuti program bual bicara khas Maal Hijrah yang disiarkan secara langsung menerusi saluran RTM1. - Bernama