Tahun Melabur Negeri Sembilan dilancar 12 November

Mohamad Rafie - Foto internet
Mohamad Rafie - Foto internet
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan akan melancarkan Tahun Melabur Negeri Sembilan 2021 pada 12 November ini dalam usaha merealisasikan sasaran menarik nilai pelaburan tempatan dan asing melebihi RM5 bilion.

Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek berkata, kerajaan negeri akan mengumumkan pakej inisiatif untuk mengalakkan pelaburan sama ada dari dalam mahupun luar negara ke negeri ini.

"Pelancaran Tahun Melabur Negeri Sembilan pada peringkat awal dirancang pada awal tahun ini tetapi disebabkan pandemik koronavirus (Covid-19), kita tunda pada 12 November.

"Kita (kerajaan negeri) berharap usaha ini akan menarik seramai mungkin pelabur ke Negeri Sembilan dalam tempoh empat bulan terakhir tahun ini dan tahun hadapan," katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Mohamad Rafie berkata, sebanyak RM1.5 bilion nilai pelaburan baharu diterima membabitkan bidang elekronik sepertimana yang dimaklumkan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

"Justeru, nilai pelaburan yang diperoleh Negeri Sembilan sepanjang tahun lalu adalah sebanyak RM3.68 bilion berbanding pada tahun 2018 sebanyak RM2.86 bilion dan kita yakin menerusi insentif yang akan diumumkan pada November nanti ia mampu menarik ramai pelabur untuk melabur ke negeri ini," katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau berkata, permohonan baharu usahawan mikro Negeri Sembilan untuk geran Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TUNS) boleh dikemukakan bermula pada hari ini secara dalam talian di pautan www.tuns.my Permohonan ini akan dibuka sehingga 20 September 2020.

"Kita memperuntukkan RM6 juta geran untuk TUNS pada tahun 2020 yang bakal memanfaatkan 2,000 usahawan mikro.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, jawatankuasa TUNS telah meluluskan seramai 643 usahawan untuk tahun 2020 yang membabitkan peruntukan dana RM1,885,868.95," katanya.

Katanya, pihaknya berharap kesemua peruntukan geran RM6 juta ini boleh disalurkan kepada usahawan sebelum tahun 2020 berakhir.

" Ini bermakna seramai lebih kurang 1,400 usahawan bakal dinilai permohonan mereka untuk menerima geran bantuan kerajaaan negeri," katanya.