Ahmad Zahid beri peringatan jangan beri musuh kekuatan

Ahmad Zahid beramah mesra dengan jemaah yang ditemui di Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Felda Besout 3, Sungkai, di sini hari ini.
Ahmad Zahid beramah mesra dengan jemaah yang ditemui di Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Felda Besout 3, Sungkai, di sini hari ini.
A
A
A

TANJUNG MALIM - Kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) khususnya Sabah diingatkan agar tidak memberikan kekuatan kepada musuh menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, biarpun terdapat perbezaan pendapat dalam kalangan pemimpin namun keutamaan harus diberikan untuk merealisasikan kemenangan pilihan raya tersebut.

Beliau berkata, semua pemimpin perlu terus istiqamah dan bersatu hati untuk menentukan matlamat parti bagi memenangi PRN ini.

"Benar perbezaan pendapat harus dirai tetapi kita harus menghormati hakikat yang ditentukan bahawa Pengerusi UMNO dan BN Sabah adalah lantikan yang dibuat oleh saya selaku Presiden UMNO dan pengerusi BN maka lebih munasabah mana-mana pengerusi perhubungan negeri dan pengerusi BN negeri mengetahui jentera di dalam PRK apatah lagi PRN di sesebuah negeri.

"Apa yang berlaku di Sabah masih boleh dimurnikan dan pada pendapat saya jangan beri kekuatan kepada musuh politik kita. Mereka sudah tentu mahu melihat perpecahan berlaku di kalangan kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Masjid Saidina Uthman Ibnu Affan, Felda Besout 3, Sungkai, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas mengenai kenyataan Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan yang tidak bersetuju dengan keputusan Ahmad Zahid yang menyerahkan kepada Pengerusi UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin menentukan calon ketua menteri sekiranya BN menang pada PRN Sabah.

ARTIKEL BERKAITAN: 'Keputusan Presiden UMNO langgar semangat autonomi Sabah'

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, perbincangan telah dilakukan bersama-sama Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Naib-naib Presiden UMNO untuk membuat pembahagian tugas antara pemimpin di semua kawasan di Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kita telah minta semua pengerusi perhubungan dan ahli MT untuk diberikan tanggungjawab di zon-zon di Sabah begitu juga menteri dan timbalan menteri dari UMNO dan BN telah diberikan tanggungjawab.

"Saya harap biarpun mempunyai pendapatan berlainan untuk bersama-sama merealisasikan matlamat bahawa rakyat Sabah amat mahukan dan rindukan UMNO dan BN. Inilah yang harus diberikan keutamaan," katanya.

Mengenai pemilihan calon pula, Ahmad Zahid menjelaskan bahawa pihaknya masih belum memuktamadkan pembahagian kerusi itu lagi.

Namun katanya, segala pertimbangan akan diberikan dari sudut komposisi sayap parti yang akan dipilih sebagai calon.