Abdul Azeez, keluarga pemegang saham, pengarah 4 syarikat

Abdul Azeez hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
Abdul Azeez hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini bagi perbicaraan kes rasuah dan pengubahan wang haram.
A
A
A

KUALA LUMPUR – Penolong Pendaftar, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), Muhamad Akmaludin Abdullah memaklumkan kepada Mahkamah Sesyen di sini, anak dan isteri Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim menjadi pemegang saham serta pengarah bagi syarikat yang dikaitkan dalam kes rasuah hari ini.

Saksi kedua pendakwaan, bagi kes rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta itu berkata, keluarga Abdul Azeez mempunyai peranan penting dalam empat syarikat berkenaan.

Syarikat yang dimaksudkan itu ialah Menuju Asas Sdn Bhd, Azman Azeez Properties (M) Sdn Bhd, Azeera Management Consultants (M) Sdn Bhd dan Azeera Properties (M) Sdn Bhd.

Ketika membaca pernyataan saksi bertulis, Muhamad Akmaludin berkata, Abdul Azeez dan isterinya, Datin Seri Khadijah Mohd Noor merupakan pemegang saham syarikat.

Sementara anak-anak Ahli Majlis Tertinggi UMNO itu iaitu Mohamed Khairul Anwar, Mohamed Khairul Azman, Khaleeda Azwa dan Khaleeda Azeera merupakan pengarah bagi syarikat terbabit.

“Maklumat ini sudah saya berikan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini," kata Muhamad Akmaludin di hadapan Hakim Azura Alwi.

Beliau merupakan antara saksi yang dipanggil bagi perbicaraan hari pertama kes rasuah membabitkan bekas Pengerusi Lembaga Tabung Haji tersebut.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nik Haslinie Hashim manakala peguam Hisyam Teh Poh Teik dan M Athimulan mewakili Abdul Azeez sementara peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos bertindak bagi pihak Abdul Latif.

Artikel Berkaitan:

Abdul Azeez, 53, menghadapi tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah serta sembilan pertuduhan pengubahan wang haram hampir RM140 juta manakala abangnya, Datuk Abdul Latif menghadapi dua pertuduhan bersubahat dalam perlakuan kesalahan oleh Abdul Azeez.

Saksi lain yang memberi keterangan semasa prosiding hari ini adalah Ketua Unit Undang-undang Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam (Yapeim), Adawiah Sahmad @ Abdul Samad dan Pengurus Penjualan Peniaga Kereta Zagma Sdn Bhd, Yap Boon Seong.

Mahkamah menetapkan perbicaraan disambung semula pada 7 September depan.