Lelaki hadir ke Balai Polis Sentul bukan pesakit Covid-19

Lelaki terbabit dibawa ke HKL untuk pemeriksaan lanjut
Lelaki terbabit dibawa ke HKL untuk pemeriksaan lanjut
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seorang lelaki warga emas yang hadir di Balai Polis Sentul dan dikatakan memakai gelang merah jambu, bukan pesakit Covid-19.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner S Shanmugamoorthy Chinniah berkata, lelaki berusia 81 tahun adalah pesakit biasa yang pernah dirawat di wad Hospital Kuala Lumpur (HKL).

"Lelaki itu datang ke Balai Polis Sentul untuk membuat laporan pada jam 10.20 pagi. Ketika itu, hanya lelaki berkenaan berada di tempat duduk berhampiran kaunter pertanyaan selain anggota polis bertugas.

"Pemerhatian anggota bertugas mendapati lelaki itu menunjukkan simptom Covid-19 kerana sesak nafas dan batuk selain dipercayai baru keluar dari hospital," katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pihaknya memaklumkan kepada HKL sebelum ambulans membawa lelaki terbabit untuk membuat pemeriksaan pada jam 11 pagi.

"Atas saranan petugas kesihatan, kita mengambil inisiatif untuk menutup Balai Polis Sentul sementara menunggu keputusan daripada pihak HKL.

"Malah, proses sanitasi turut dilakukan di sekitar Balai Polis Sentul sejurus itu dan semua petugas tidak dibenarkan keluar dari lokasi sehingga dimaklumkan pihak HKL," katanya.

Beliau berkata, HKL telah memaklumkan bahawa lelaki itu bukan pesakit Covid-19 tetapi pesakit biasa yang pernah dimasukkan dan dirawat di wad HKL.

Artikel Berkaitan:

"Sehubungan itu, Balai Polis Sentul beroperasi seperti biasa pada jam 4 petang hari ini selepas proses sanitasi kedua," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador memaklumkan hanya kawasan berhampiran kaunter pertanyaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul ditutup dan bukannya keseluruhan balai berkenaan.

Sebelum ini, tular di media sosial mengenai notis ditampal di hadapan pagar IPD Sentul mengenai penutupan balai berkenaan.

Menurut notis itu, balai polis terbabit akan ditutup sementara waktu sehingga satu masa yang akan diumumkan nanti.

ARTIKEL BERKAITAN: Balai Polis Sentul ditutup gara-gara individu gelang pink