KPDNHEP Negeri Sembilan lupus rampasan bernilai RM2.7 juta

Ain Arjuna melakukan simbolik melupus barangan yang dirampas pada sidang akhbar di KPDNHEP Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
Ain Arjuna melakukan simbolik melupus barangan yang dirampas pada sidang akhbar di KPDNHEP Negeri Sembilan di Seremban hari ini.
A
A
A

SEREMBAN - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Negeri Sembilan melupuskan barangan rampasan melibatkan nilai anggaran RM2.7 juta dalam tempoh Januari lalu hingga kini.

Pengarahnya, Ain Arjuna Aziz Azman berkata, pelupusan itu melibatkan pelbagai barangan yang disita pada tahun lalu membabitkan 80 kes yang telah disiasat dan dikenakan tindakan oleh mahkamah dan juga kompaun.

Katanya, antara jumlah rekod yang tertinggi adalah nilai rampasan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 berjumlah RM1,326,208.52 dan diikuti oleh Akta Perihal Dagangan 2011 dengan jumlah sitaan sebanyak RM1,271,697.80.

"Kasut, t-shirt, produk minuman seperti kopi pra campuran, barangan terkawal seperti minyak diesel dan tong gas cecair petroleum ( LPG) antara barangan yang dirampas.

"Kesemua barangan yang disita berkait dengan kes yang menyalahi undang-undang antaranya di bawah Akta Kawalan Bekalan, Akta Cap Dagang, Akta Perihal Dagangan serta akta-akta lain yang dikuatkuasakan," katanya pada sidang akhbar di KPDNHEP Negeri Sembilan, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Ain Arjuna berkata, pelbagai alasan diberikan oleh peniaga terlibat susulan pelanggaran undang-undang di bawah akta berkenaan.

"Ada yang mendakwa tidak mengetahui barangan yang dijual adalah tiruan, tidak mengetahui penjualan tong LPG perlu ada lesen, dan pelbagai alasan lain bagi melepaskan diri daripada diambil tindakan undang-undang," katanya.

Beliau berkata, satu operasi bersama cawangan KPDNHEP Kuala Pilah dan Port Dickson dengan kerjasama beberapa agensi penguat kuasa lain telah diadakan di beberapa kawasan tumpuan ramai dan pusat perniagaan sekitar Seremban selama tiga hari bermula Selasa lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 17 kompaun dikenakan bernilai RM12,750 terhadap peniaga yang melakukan kesalahan antaranya di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 iaitu tidak mempamerkan tanda harga, Akta Timbang dan Sukat 2011 (tidak membuat penentusahan) dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 (peraturan bengkel).

"Sepanjang tempoh berkenaan, sebanyak 141 premis diperiksa dan operasi seperti ini akan diteruskan bagi membendung salah laku peniaga dalam aktiviti perdagangan," katanya.

Justeru, beliau memberi amaran kepada mana-mana peniaga supaya tidak terlibat dalam sebarang bentuk perniagaan yang salah di sisi undang-undang bagi mengelakkan tindakan tegas dikenakan.