Guru nafi sebar video ayah pandai masak air ketum

Penjelasan seorang guru wanita susulan tular video bapa masak air ketum di laman sosial Facebook.
Penjelasan seorang guru wanita susulan tular video bapa masak air ketum di laman sosial Facebook.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang guru wanita nafi menyebarkan video seorang murid perempuan menjawab ayahnya pandai masak air ketum sehingga ia tular di laman sosial Facebook hari ini.

Guru berkenaan mengakui dia ada merakam video muridnya ketika salah satu sesi pembelajaran di sekolah semalam.

Bagaimanapun katanya, video itu hanya dikongsikan dengan ibu kepada murid berkenaan sahaja.

"Untuk pengetahuan tuan, saya guru tersebut. Saya rakam dan hantar video tersebut hanya untuk ibu murid saya dengan harapan jika benar ayah murid saya kaki ketum harap dapat lindung daripada anak.

ARTIKEL BERKAITAN: Video ayah pandai masak ketum: Siasat jika wujud unsur buli

NUTP kesal penyebaran video ayah pandai masak ketum

"Saya tidak pernah sesekali menularkan dalam Facebook ataupun grup, hanya kepada ibu anak ini. Mohon ketahui perkara sebenar," katanya yang dipetik daripada Facebook Akhi Fairuz Al-Jengkawi.

Jelasnya, dia juga tidak pernah memuat naik sebarang aktiviti sekolah sama ada melibatkan murid ataupun rakan-rakan guru lain sepanjang perkhidmatan sebagai pendidik.

Artikel Berkaitan:

"Dan berkenaan murid yang tertawa, sebenarnya murid-murid lain bukan ketawakan murid tersebut. Mereka ketawa melihat saya ketawa. Saya jarang ketawa dalam kelas tuan. Saya guru yang agak serius," katanya.

Jelas guru itu lagi, murid-murid lain ketawa kemungkinan disebabkan mereka hanya teruja melihat dirinya tertawa hingga keluar air mata, sedangkan langsung tidak faham apa itu ketum.

Hari ini, tular rakaman video berdurasi 14 saat memaparkan seorang kanak-kanak perempuan mengangkat tangan menjawab pertanyaan gurunya bapa siapa pandai masak dalam satu sesi pembelajaran.

Kanak-kanak perempuan itu yang kelihatan teruja mengangkat tangan kemudian memberitahu bapanya pandai memasak air ketum diikuti gelak ketawa rakan sekelasnya.

Sehubungan itu, pelbagai pihak termasuklah Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) melahirkan kekesalan dengan penyebaran video berkenaan.