KBS terima 579 permohonan Inisiatif Prihatin Sukan

Wan Ahmad Fayhsal bersama para penerima sewaktu Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Inisiatif Prihatin Sukan 2020 yang berlangsung di Dean Podium, Menara KBS, Putrajaya hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
Wan Ahmad Fayhsal bersama para penerima sewaktu Majlis Penyerahan Surat Kelulusan Inisiatif Prihatin Sukan 2020 yang berlangsung di Dean Podium, Menara KBS, Putrajaya hari ini. - FOTO ASRIL ASWANDI SHUKOR
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 50 persatuan dan kelab sukan yang berdaftar bawah Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS) menerima surat kelulusan Inisiatif Prihatin Sukan 2020 berjumlah RM10 juta hari ini.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Senator Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, inisiatif tersebut bertujuan memberi sinergi baharu pada pasca Covid-19.

"Ini adalah tanda tanggungjawab KBS kepada semua pemegang taruh industri sukan negara yang terkesan teruk dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac lalu," katanya pada sidang media di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, pihaknya menerima banyak keluhan dan kegusaran daripada industri mengenai masa depan dan perniagaan mereka.

"Contohnya pemilik padang sintetik, kolam renang dan sebagainya meluahkan rasa kebimbangan mereka yang terjejas akibat PKP," katanya.

Wan Ahmad Fayhsal
Wan Ahmad Fayhsal

Beliau berkata, antara bantuan yang boleh dipohon adalah Bantuan Pengurusan Persatuan Sukan Kebangsaan, Bantuan Menjalan Program dan Aktiviti, Bantuan Pendigitalan Sukan serta Kajian dan Pembangunan Pengkormesialan Sukan.

Katanya, sebanyak 579 permohonan diterima KBS di bawah inisiatif tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Setakat ini, sebanyak 243 persatuan telah diberi kelulusan.

"Majlis hari ini adalah sebahagian yang telah diluluskan, insya-ALLAH akan menyusul beberapa lagi persatuan yang telah diluluskan," katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan surat kelulusan kepada wakil 50 persatuan dan kelab sukan pada majlis penyerahan surat kelulusan Inisiatif Prihatin Sukan 2020.

Turut hadir, Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik) KBS, Ramona Mohd Razali dan Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara, Datuk Hatipah Ibrahim.

Antara persatuan sukan yang menerima surat kelulusan pada majlis itu adalah Majlis Olimpik Malaysia, Majlis Paralimpik Malaysia, Persekutuan Tinju Malaysia, Persatuan Squash Malaysia, Persatuan Pacuan Empat Roda Malaysia, Kongres Tenpin Bowling Malaysia dan Persatuan Golf Wanita Malaysia.