Penyertaan Bersatu mudahkan gerak kerja tiga parti Melayu

Mohd Amar ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.
Mohd Amar ketika ditemui media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco di Kompleks Kota Darulnaim, Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Penyertaan Bersatu dalam Muafakat Nasional (MN) memudahkan tiga parti Melayu menyelaraskan gerak kerja serta perancangan politik.

Naib Presiden Pas, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, dari segi dasarnya UMNO dan parti itu boleh bersetuju dengan penyertaan Bersatu.

"Cuma perkara ini (penyertaan Bersatu) perlu dibincangkan secara rasmi dalam mesyuarat MN dan saya rasa ini adalah langkah terbaik daripada Bersatu.

"Bersatu sebelum ini duduk di luar MN mungkin susah untuk selaraskan dari segi kerusi, isu serta pendekatan politik. Saya anggap ini adalah satu perkembangan positif dari segi politik," katanya kepada media selepas menghadiri Mesyuarat Mingguan Exco Kerajaan negeri Kelantan di Kompleks Kota Darulnaim, di sini hari ini.

Terdahulu Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berkata, pihaknya menyokong penuh keputusan Bersatu untuk menyertai MN.

Dalam kenyataan itu, Takiyuddin berkata, Pas yakin penyertaan Bersatu akan memantapkan lagi MN yang digagaskan atas dasar muafakat dalam hal-hal dan isu-isu berkaitan kepentingan agama Islam, bangsa Melayu dan bumiputera selain kepentingan nasional secara umumnya.

"Pas juga yakin gandingan tiga parti ini akan mewujudkan suatu gagasan besar ‘Melayu Raya’ sekali gus memperkasakan struktur masyarakat Malaysia yang merupakan sebuah negara majmuk berbilang bangsa, agama dan budaya seperti termaktub dalam undang-undang teras Malaysia serta sejarah dan pengalaman panjang kita bersama," katanya.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah, Mohd Amar juga Timbalan Menteri Besar Kelantan berkata, Pas Pusat menyerahkan keputusan kepada Pas negeri bersabit dengan kerusi bakal ditandingi.

Artikel Berkaitan:

Katanya, Pas Sabah akan membuat keputusan untuk bertanding di beberapa kerusi selain mengambil kira pandangan rakan parti yang lain.

"Berdasarkan rekod lepas saya percaya ada kerusi untuk Pas bertanding dan di mana itu tidak tahu lagi. Dia akan tengok cadangan, tetapi mungkin kena bincang di peringkat perhubungan dan kawan-kawan kita.

"Di Sabah, ada parti yang baik dengan kita dan mempunyai hubungan dengan kita. Mungkin, di situ akan diselaraskan," katanya.