Ahli UMNO disaran mahir tangkis berita palsu di media sosial

Mohammad Fakhruddin (tiga,kiri) beramah mesra dengan penduduk di DUN Bebar sewaktu melawat kawasan itu.
Mohammad Fakhruddin (tiga,kiri) beramah mesra dengan penduduk di DUN Bebar sewaktu melawat kawasan itu.
A
A
A

KUANTAN - Ahli UMNO disaran meningkatkan penguasaan teknologi maklumat bagi menangani semua isu khususnya fitnah yang dibangkitkan di laman sosial.

Ketua Penerangan UMNO Pekan, Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff berkata, penguasaan itu penting dalam memastikan semua maklumat betul dan tepat disalurkan kepada rakyat.

Menurutnya, perkara itu telah diingatkan kepada semua ahli UMNO di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bebar ketika merasmikan Mesyuarat Agung UMNO Cawangan Tanjung Batu di Nenasi.

"Kita menganggap ini (penguasaan teknologi) penting dan kerana sejarah telah membuktikan kejatuhan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

"Kalau dulu kita alpa dan kalah di alam maya sehinggakan kita tidak mampu menangkis dakyah, fitnah dan tohmahan yang dilemparkan tapi hari ini kena ada penguasaan teknologi bagi membetulkan tuduhan tidak berasas," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, sumber maklumat yang terbesar dan paling berpengaruh masa kini adalah melalui media sosial.

Jelasnya, ini sudah terbukti apabila sesuatu itu sama ada berita itu benar, separuh benar atau tidak benar sama sekali, dalam bentuk fitnah boleh tular dalam masa sekelip mata.

"Perkataan yang tidak betul ini boleh meracun fikiran rakyat. Jadi, kita juga perlu meningkatkan lagi imej UMNO dan BN kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Media sosial juga harus dijadikan platform mendekatkan rakyat dengan parti dan kerajaan kita kerana ketika ini terlalu banyak berita palsu tersebar di media sosial yang perlu diperbetulkan segera," katanya.

Dalam pada itu, Mohammad Fakhruddin berkata, semua ahli UMNO perlu memainkan peranan mengukuhkan Muafakat Nasional antara UMNO dan PAS, selain menyebarkan agenda nasional yang tidak meminggirkan lain-lain bangsa.

Katanya, disebabkan itu beliau sering memberi penekanan semua ahli UMNO menggunakan media sosial demi membela agama, bangsa dan negara.

"Pengalaman telah banyak mengajar kita. Hari ini, rata-rata rakyat telah kembali bersama kita. Janganlah kita alpa, pastikan rakyat kali ini terselamat daripada terus menerima berita fitnah dan maklumat yang tidak tepat," katanya.