Operasi perniagaan di Kulim dihadkan sehingga 8 malam

Muhammad Sanusi Md Nor
Muhammad Sanusi Md Nor
A
A
A

ALOR SETAR - [DIKEMASKINI] Operasi perniagaan di beberapa mukim di daerah Kulim dihadkan sehingga 8 malam sahaja berkuat kuasa Isnin lepas berikutan penularan Covid-19.

Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerajaan negeri bertindak mengikut bidang kuasa negeri

Muhammad Sanusi juga memaklumkan bahawa penutupan sekolah yang dikaitkan dengan penularan wabak koronavirus (Covid-19) di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan.

"Hanya SJKT (Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil) Padang Meha ditutup susulan terdapat kes positif melibatkan guru. Sejak itu, murid tidak hadir ke sekolah dan notis penutupan telah dikeluarkan," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Darul Aman hari ini.

Menurutnya, semua tindakan dimuktamadkan dalam mesyuarat diwakili Majlis Keselamatan Negeri (MKN), Jabatan Kesihatan, polis, penasihat undang-undang berdasarkan nasihat jabatan teknikal.

Semalam, Majlis Perbandaran Kulim (MPKK) mengeluarkan notis mengehadkan tempoh waktu operasi perniagaan di beberapa mukim di Kulim.

Menerusi notis pemberitahuan yang dimuat naik di laman Facebook MPKK, arahan itu berkuat kuasa kelmarin selaras dengan keputusan kerajaan negeri melalui mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Khas Covid-19.

Ia meliputi semua perniagaan di mukim dan kawasan terlibat, iaitu mukim Keladi, Padang Cina, Karangan dan Padang Meha serta kawasan Kelang Lama.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun pengecualian diberikan kepada stesen minyak, klinik perubatan swasta, pasar borong dan kilang yang mendapat kelulusan operasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri.

Bagi premis perniagaan makanan hanya dibenarkan bawa pulang atau pandu lalu sahaja.

Notis itu turut menyenaraikan pasar malam dan pasar pagi di daerah itu yang ditutup sementara iaitu di Taman Mutiara, Kelang Lama, Sungai Karangan, Merbau Pulas dan Taman Desa Aman.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah mengarahkan penutupan sebuah sekolah di Kulim yang dikaitkan dengan Kluster Tawar.

Terdapat empat kes di Kulim, membabitkan seorang guru dan tiga murid serta seorang remaja perempuan berusia 13 tahun dijangkiti Covid-19.