Pemuda UMNO Sabah ikrar pertahan Bung Moktar

Tangkap layar Facebook Ir Abdul Aziz Julkarnain.
Tangkap layar Facebook Ir Abdul Aziz Julkarnain.
A
A
A

KOTA KINABALU - Pemuda UMNO Sabah menyokong Ketua UMNO negeri itu, Datuk Seri Bung Moktar Radin memimpin jentera pilihan raya Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilhan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang.

Ketua Pemuda negeri itu, Ir Abdul Aziz Julkarnain berkata, mereka menghormati keputusan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang memilih Bung Moktar mengetuai jentera UMNO dan BN itu.

Menurutnya, Pemuda UMNO Sabah sudah berikrar untuk mempertahankan sebarang keputusan parti di samping memastikan seluruh jentera di peringkat akar umbi bekerja kuat menghadapi pilihan raya itu bagi mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap BN.

“Pemuda BN perlu bersedia merancang dan memperhalusi segala gerak kerja bagi menghadapi PRN Sabah kali ini. Fokus harus diberikan dalam perkara ini dan mengalahkan Parti Warisan (Sabah) perlu menjadi wadah utama.

“Justeru, Pemuda UMNO Sabah menyeru semua pihak menghormati keputusan pucuk pimpinan. Kita terus bergerak bersama bagi memperjuangkan nasib serta kepentingan rakyat Sabah dengan lebih cemerlang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Abdul Aziz berkata demikian dipercayai susulan kritikan dilemparkan terhadap Bung Moktar berhubung pelantikan beliau sebagai ketua PRN Sabah malah ada pihak dari parti sama yang mahu menyingkirkan Bung Moktar dari tugas itu.

Malam tadi, Ahli MKT, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan pada satu sidang media tergempar bersama beberapa ketua UMNO Bahagian dari Sabah menyifatkan keputusan meletakkan Bung Moktar mengetuai jentera bagi menghadapi PRN Sabah, sebagai satu tindakan 'bunuh diri'.

Sehubungan itu, bekas Ahli Parlimen Kota Belud itu menggesa Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengkaji semula keputusan melantik Bung Moktar yang merupakan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah.

Artikel Berkaitan:

Beliau mendakwa, Bung Moktar sedang dibelenggu dengan perbicaraan kes mahkamah, justeru akan menyebabkan UMNO Sabah berada pada kedudukan yang tidak stabil untuk memenangi hati rakyat.