Gaji rendah, cukai tinggi punca pasaran gelap meningkat

Pertambahan permintaan terhadap barangan haram oleh konsumer disebabkan harga lebih rendah, penurunan dari segi penguatkuasaan kerajaan selain penjenayah pasaran gelap beralih kepada saluran e-dagang. (Gambar kecil: Yeah Kim Leng)
Pertambahan permintaan terhadap barangan haram oleh konsumer disebabkan harga lebih rendah, penurunan dari segi penguatkuasaan kerajaan selain penjenayah pasaran gelap beralih kepada saluran e-dagang. (Gambar kecil: Yeah Kim Leng)
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pendedahan berani mati peniaga burger, Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut melalui Facebook Live Hot Burger Malaysia mengenai penjualan rokok seludup dan pusat judi di Sungai Buloh mendedahkan betapa seriusnya perdagangan barangan haram atau pasaran gelap di Malaysia.

Malangnya naratif melibatkan permasalahan membabitkan pasaran gelap ini dijangka menjadi lebih sulit disebabkan pengguna yang terkena impak krisis koronavirus (Covid-19) akan mengubah tabiat pembelian mereka.

Profesor Fakulti Perniagaan Universiti Sunway, Yeah Kim Leng berkata, beliau menjangkakan keseluruhan perbelanjaan pengguna akan terjejas dalam jangka pendek disebabkan kehilangan mata pencarian, pekerjaan dan pemotongan gaji serta ketidaktentuan ekonomi akibat Covid-19.

Katanya, pemberhentian kerja dijangka semakin meningkat, malah jaminan pekerjaan juga semakin lemah kesan daripada pandemik Covid-19 menyebabkan rakyat lebih berjimat-cermat dari segi perbelanjaan dan menambahkan penjimatan sebagai penampan jika berlaku ketidaktentuan ekonomi.

“Keluarga yang bimbangkan kos dan berpendapatan rendah akan beralih kepada produk lebih murah atau barangan gantian merangkumi produk am dan pasaran gelap.

“Oleh kerana ancaman produk kontraban dan palsu terhadap jenama terkenal dan produk asli mungkin meningkat di dalam persekitaran pasca Covid-19 ini, pihak berkuasa hendaklah lebih teliti dan tegas menanganinya,” katanya.

Kim Leng berkata, pihak berkuasa perlu menggandakan kempen penerangan bagi membanteras penjualan produk-produk pasaran gelap.

“Wujud keperluan untuk menambah program kesedaran pengguna secara kolaborasi dengan pelbagai pergerakan konsumer bukan kerajaan di negara ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Forum Ekonomi Dunia (WEF) menganggarkan bahawa lebih AS$2.2 trilion (RM9.2 trilion) atau 3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) akan lesap akibat ketirisan dagangan haram pada 2020.

Menurut kertas putih 'Perdagangan Haram Di Waktu Coronavirus' yang diterbitkan oleh Euromonitor International baru-baru ini, pertambahan permintaan terhadap barangan haram oleh konsumer berkaitan dengan krisis Covid-19 adalah disebabkan harga lebih rendah, penurunan dari segi penguatkuasaan kerajaan selain penjenayah pasaran gelap beralih kepada saluran e-dagang, di mana ramai pengguna kini gunakan untuk membeli barangan harian.

Di samping itu, cukai eksais tinggi terhadap barangan khusus juga merupakan satu daripada faktor utama menyebabkan pengguna beralih kepada barangan seludup sewaktu pandemik.

Kertas putih itu juga menekankan bahawa ketidaktentuan masa hadapan, memerlukan tindakan pantas dan berkesan oleh masyarakat, kerajaan dan perniagaan bagi mengelak lebih banyak hasil diraih penjenayah pasaran gelap kerana mereka berterusan mengaut keuntungan di dalam suasana bencana kesihatan sekarang.