Bekas pegawai PAIP tidak mengaku terima suapan RM24,000

Nezeri (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan menerima suapan rasuah berjumlah RM24,000 daripada seorang pengarah dua tahun lalu.
Nezeri (kiri) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan atas tuduhan menerima suapan rasuah berjumlah RM24,000 daripada seorang pengarah dua tahun lalu.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMASKINI] Bekas Penolong Operasi Bahagian Agihan, Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) didakwa di Mahkamah Sesyen Kuantan hari ini atas empat pertuduhan menerima imbuhan berjumlah RM24,000, dua tahun lalu.

Nazeri Hussain, 61, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan itu di hadapan Hakim Mohd Ghazali Muhamad Taib.

Tertuduh menghadapi empat pertuduhan memperoleh suapan daripada Pengarah Wawasan Vista Engineering Sdn Bhd, Chong Wei Peng secara tunai yang diketahui ada hubungan dengan tugas rasminya yang ketika itu memegang jawatan sebagai Penolong Operasi Bahagian Agihan.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Ibu Pejabat Paip, Indera Mahkota di sini, antara 11 Julai hingga 21 Ogos 2018.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan.

Sebelum itu, Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Nadzirah Zahari menawarkan ikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin.

Bagaimanapun, Peguam, Datuk Zaharman Zainal Abidin mewakili tertuduh merayu ikat jamin dikurangkan atas alasan jaminan hanya satu cagaran untuk anak guamnya ke mahkamah.

"Tertuduh juga tidak mempunyai rekod kesalahan lampau dan menanggung isteri serta seorang anak yang masih belajar," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM10,000 oleh seorang penjamin dan sebutan semula kes pada 7 September depan.