Dr Maszlee mahu tingkat kolaborasi Malaysia, AMRC

Maszlee Malik - Foto Bernama
Maszlee Malik - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mengadakan lawatan kerja ke Advanced Manufacturing Research Centre (AMRC), Universiti Sheffield semalam melahirkan hasrat Malaysia untuk meningkatkan kolaborasi dalam pelbagai bidang dengan universiti tempatan.

Maszlee menyifatkan kunjungan sulung beliau ke AMRC dan Universiti Sheffield itu sebagai satu pengalaman yang cukup membina bagi menerokai kerjasama masa depan.

"Kami berharap untuk menerokai kerjasama yang lebih baik di UK, khususnya dengan Universiti Sheffield dan AMRC," kata beliau dipetik portal Universiti Sheffield.

Beliau berkata, pendidikan merupakan asas bagi kita untuk terus maju dan merasakan model seperti AMRC sesuai dengan ekonomi Malaysia.

"Kita juga ingin menerokai kerjasama dengan Universiti Sheffield dalam program berkembar di mana penuntut kami belajar di Malaysia dan di sini," katanya.

Antara perkara yang dibincangkan termasuklah peluang kolaborasi antara Universiti Sheffield dengan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam bidang kejuruteraan aeroangkasa dan dengan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam bidang automatif khususnya pembangunan kereta elektrik, serta latihan TVET dan guru-guru Kolej Vokasional di AMRC.

AMRC merupakan kluster pusat penyelidikan dan pembangunan pembuatan dengan sebuah pusat latihan yang menyediakan kemahiran praktikal dan teori yang mana syarikat pembuatan perlu bersaing secara global, mulai dari peringkat magang sehingga ke peringkat ijazah sarjana pentadbiran dan doktor falsafah.

Kini terdapat lebih 430 orang penuntut Malaysia di Universiti Sheffield. Kebanyakan daripada mereka mengikuti pengajian seni bina, kejuruteraan, perubatan dan undang-undang, selain subjet sains sosial dan kemanusiaan.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Presiden dan Naib Canselor Universiti Sheffield, Profesor Koen Lamberts berkata, pihaknya bangga menerima kunjungan Maszlee ke pusat pengajian tinggi itu dan AMRC untuk melihat sendiri pencapain pihaknya dalam bidang penyelidikan dan inovasi.

"Universiti kami mempunyai sejarah panjang dalam menerima penuntut-penuntut dari Malaysia dan kerjasama dengan universiti-universiti Malaysia dalam menangani cabaran bersama dan menawarkan program-program pengajian," kata beliau.

Sebelum ini, Dekan dan Pengarah Eksekutif AMRC, Keith Ridgway dipetik media tempatan berkata, pihaknya melihat kunjungan Maszlee, yang dilantik sebagai Menteri Pendidikan pada Mei lalu, sebagai satu penghormatan kepada pusat tersebut.

"Kami sangat gembira kerana beliau telah melahirkan hasrat untuk mengadakan lawatan ke pusat latihan AMRC kami sempena lawatan beliau (ke UK)," katanya.

Malah menurut beliau, pusat itu turut menyediakan beratus-ratus syarikat kecil di seluruh rantau ini dengan kemahiran kejuruteraan bernilai tinggi yang diperlukan untuk mengembangkan perniagaan mereka.

"Perkongsian antara AMRC dan ekonomi yang dinamik seperti Malaysia boleh menjadi satu manfaat bagi kami," kata Ridgway.

Tambah beliau, AMRC banyak belajar daripada ekonomi Asia Tenggara yang pesat berkembang dan kesediaan mereka untuk berfikir besar, mengambil risiko dan membina kekuatan dalam pembuatan.

Maszlee berkunjung ke AMRC dan Universiti Sheffield dalam rangka lawatan ke UK. Lawatan kerja itu berakhir hari ini.