Konvensyen Demokrat tumpu kelebihan Biden

Joe Biden
Joe Biden
A
A
A

WASHINGTON - Hari kedua Konvensyen Kebangsaan Demokrat (DNC) menyaksikan ucapan beberapa penceramah menumpukan kepada kemahiran kepimpinan Joe Biden berkaitan isu seperti dasar luar dan mengurus krisis, lapor agensi berita Sputnik.

DNC dalam satu kenyataan pada Selasa berkata, Biden sebagai presiden Amerika Syarikat (AS) akan mempertaruhkan peranan kepimpinan baharu.

Sementara itu, bekas Setiausaha Negara John Kerry dalam kenyataannya mengatakan Presiden Donald Trump tidak mampu mempertahankan negara ini berbeza dengan Biden yang dilihat lebih stabil.

"Joe lebih memahami. Bukan senjata nuklear, bukan cabaran untuk bangun kembali dengan lebih baik selepas Covid-19, bukan keganasan dan bukan juga krisis iklim. Tiada apa yang dapat diselesaikan tanpa menyatukan negara," kata Kerry.

Isteri Biden, Jill bersama kira-kira lapan penceramah lain termasuk anggota parlimen dan bekas pegawai dijadual menyampaikan ucapan pada Selasa malam.

Program DNC bermula jam 9 malam EST dan dijadual berlangsung kira-kira dua jam.

Konvensyen yang kebiasaannya dianjurkan di Milwaukee, Wisconsin itu akan diadakan selama empat hari bermula Isnin, sebahagian besarnya secara maya. Joe Biden akan berucap pada penutup konvensyen selepas secara rasmi dicalonkan sebagai calon presiden.

Hari pertama konvensyen menampilkan bekas Wanita Pertama Michelle Obama dan Senator Bernie Sanders.

Artikel Berkaitan:

Parti Republikan akan mengadakan konvensyennya minggu depan untuk secara rasmi mencalonkan Trump sebagai calon presiden mereka. - Bernama