X

Kindly register in order to view this article
!

Keris lebih 500 tahun masih berbau harum

Izhar menunjukkan keris berusia 500 tahun yang masih berbau harum di galerinya di Kampung Padang Panjang, Mukim Malau, Jitra, dekat sini semalam.
A
A

JITRA - Sebilah keris dipercayai berusia lebih 500 tahun dari Indonesia masih mengeluarkan bau harum dan aromanya semakin kuat jika dicuci dan direndam dalam air kelapa.

Pemiliknya, Izhar Johari,45 berkata, antara keunikan lain keris tersebut adalah mempunyai dua mata pada penghujung bilahnya dan masih lagi kelihatan jelas walaupun besinya sudah usang.

Menurutnya, selain keris tersebut yang tidak diketahui namanya, beliau juga mempunyai sebilah keris Tajung dari Pattani dan turut mengeluarkan bau wangi seperti keris berusia lima abad dimilikinya itu.

"Keris Tajung ini saya tidak boleh agak berapa usianya namun keris ini antara yang jadi buruan dan pernah ditawarkan sehingga RM12,000 namun saya belum terbuka hati untuk menjualnya ketika itu.

"Keris lama dan keris Tajung ini antara lebih 200 bilah keris yang menjadi koleksi saya sejak 15 tahun lalu. Ada keris ini yang dibeli oleh saya sendiri dan ada yang diberikan oleh bapa saya yang juga pengumpul barang antik," katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Padang Panjang, Mukim Malau, Jitra, dekat sini semalam.

Izhar berkata, terdapat juga keris-keris lama yang diserahkan sendiri oleh pemiliknya kepada beliau kerana tidak mampu lagi 'menjaganya'.

"Saya menganggap menyimpan koleksi keris ini sebagai hobi dan tidak lebih daripada itu. Memang ada gangguan mistik, tapi saya tidak melayannya dan selepas menerima keris dari pemilik asalnya, saya akan menyimpan di galeri yang dibina di tepi rumah saya.

"Saya tidak layan gangguan yang ada, tidak akan asapkan seperti biasa dilakukan oleh mereka yang dahulu. Saya biarkan sahaja di galeri," katanya.

Selain keris, Izhar menyimpan koleksi pasu lama dan bernilai tinggi yang berasal dari China.
Selain keris, Izhar menyimpan koleksi pasu lama dan bernilai tinggi yang berasal dari China.

Beliau yang juga seorang pengusaha madu kelulut berkata, sebagai seorang beragama Islam wajib untuknya menjaga akidah daripada terpesong disebabkan perkara-perkara mistik.

"Saya hanya menggunakan air kelapa sahaja untuk mencuci keris-keris tersebut agar tidak berkarat. Itu sahaja langkah penjagaan yang saya lakukan terhadap koleksi keris saya ini," katanya.

Menurutnya, sebilah keris kecil pernah dicuri dari galerinya empat tahun lalu namun dipulangkan semula dua minggu kemudian dan beliau tidak tahu apa sebab pencuri tersebut memulangkan kembali barang antiknya itu.

"Selain koleksi keris, saya juga menyimpan barangan antik lain antaranya meriam dari Belanda, seterika lama, kacip, tepak sirih dan pasu-pasu lama bernilai tinggi dari China.

"Saya sangat berharap galeri ini akan menjadi salah satu daya tarikan pelancongan di daerah Kubang Pasu suatu hari nanti kerana turut berhampiran dengan Taman Eko Rimba Bukit Wang," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!