Sukan SEA: MOM, MSN perhalusi kriteria pemilihan atlet muda

Mohamad Norza
Mohamad Norza
A
A
A

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Sukan Negara (MSN) bagi memperhalusi kriteria pemilihan atlet muda ke Sukan SEA 2021 di Hanoi, Vietnam.

Presiden MOM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata draf hasil perbincangan itu dijangka siap pada hujung tahun ini sebelum dibentangkan kepada persatuan sukan kebangsaan.

“Bengkel akan diadakan dengan setiap persatuan sukan kebangsaan bagi mendapatkan maklum balas mengenai penyertaan atlet muda di Sukan SEA 2021 serta Sukma (Sukan Malaysia),” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Lembaga Eksekutif MOM, di sini semalam.

Mohamad Norza berkata, draf kriteria atlet itu menetapkan setiap persatuan sukan perlu menyediakan senarai akhir nama atlet selewat-lewatnya pertengahan tahun depan.

MOM mengumumkan untuk menghantar lebih ramai atlet muda bertanding di Sukan SEA Vietnam 2021 yang dianggap sebagai medan pendedahan terbaik bagi mempersiapkan pelapis negara sebelum beraksi di temasya lebih besar termasuk Sukan Asia dan Sukan Komanwel.

Selaku tuan rumah, Vietnam mencadangkan 36 jenis sukan dipertandingkan pada Sukan SEA 2021.

Malaysia menerusi MOM mengemukakan rayuan untuk 11 sukan iaitu hoki dalam dewan, boling, pelayaran, kriket, papan selaju, sambo, floorball, bola jaring, boling padang, skuasy dan sukan ragbi tujuh sebelah.

Sementara itu, Mohamad Norza berkata pihaknya menerima maklumat daripada tuan rumah Sukan Komanwel 2022 di Birmingham memaklumkan bahawa susulan pandemik Covid-19, atlet dan pegawai tidak akan ditempatkan di perkampungan sukan berpusat sebaliknya di beberapa hotel dan universiti berdekatan venue pertandingan.

Artikel Berkaitan: