Penduduk resah banjir melimpah ke dapur, tandas

Keadaan kediaman Rosnani yang dilimpahi air setinggi 0.3 meter.
Keadaan kediaman Rosnani yang dilimpahi air setinggi 0.3 meter.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Pihak berwajib digesa mengambil tindakan segera mengatasi masalah banjir di beberapa kawasan rendah di Kampung Simpang Lima di sini.

Seorang penduduk, Rosnani Hamzah, 60, berkata, kejadian banjir berpunca daripada sistem saliran kawasan kampung tidak berfungsi dengan baik akibat projek menaik taraf Jalan Persekutuan 5 (FR5).

Menurutnya, kediamannya misalnya digenangi air setinggi 0.3 meter selama tiga hari akibat hujan berterusan sejak Jumaat lalu.

"Air dari parit yang kotor membawa sampah sarap melimpah masuk ke bahagian dapur dan lebih memeritkan apabila air itu bercampur dengan sisa najis dari lubang tandas," katanya kepada Sinar Harian.

Rosnani berkata, kejadian banjir itu dibimbangi kembali berulang sekiranya keadaan sistem perparitan masih tidak diselenggara.

"Biasanya air melimpah ke pekarangan rumah, tapi Jumaat lalu kejadian buruk dialami apabila air naik sampai ke dapur dan tandas," katanya.

Malah, dakwanya, terdapat penghadang jalan plastik bagi kegunaan projek FR5 dibiarkan di dalam parit yang hanya terletak kira-kira 20 meter dari kediamannya.

"Parit ini sangat kotor, malah pasir jalan juga sering runtuh menyebabkan keadaan parit bertambah semput dan sebu," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, perkara itu sudah diadukan beberapa kali dengan pekerja kontraktor terbabit, namun sehingga kini tiada sebarang tindakan.

"Saya meminta campur tangan pihak berwajib menyelesaikan masalah ini segera terutama kawasan kediaman saya yang rendah akibat projek FR5," katanya.

Sementara itu, masalah dihadapi Rosnani mendapat perhatian daripada Ahli Parlimen Sungai Besar, Muslimin Yahaya.

Muslimin berkata, agensi kerajaan dan pihak berkaitan diminta memantau perkembangan sistem saliran parit utama yang tersumbat kerana dibimbangi air dari parit memasuki lebih banyak kediaman penduduk pada masa depan.

"Kadang-kadang musibah banjir seperti ini kerana kecuaian manusia. (Masalah) parit sumbat dan aliran air tidak lancar (memerlukan perhatian)," katanya.