'Mereka tidak mampu luah perasaan rindu'

 Mohd Zain terus tabah menguruskan dua lagi anak istimewanya.
Mohd Zain terus tabah menguruskan dua lagi anak istimewanya.
A
A
A

TUMPAT - Dua beradik akan meraba kawasan sekeliling untuk mencari seorang lagi saudara mereka sedangkan teman perbaringan itu sudah tiada lagi di sisi buat selama-lamanya.

Itulah gelagat Khairul Nisaa’ Mohd Zain, 26, dan Ain Husna, 18 yang menghidap celebral palsy dipercayai setiap kali rindukan saudara lelaki mereka, Muhammad Amir, 19 yang menghidap penyakit sama tetapi telah meninggal dunia lebih dua minggu lalu.

Bapa mereka, Mohd Zain Abdullah, 57, berkata, anak-anaknya itu sudah biasa baring bertiga dan apabila salah seorang daripadanya tiada, dua lagi anaknya itu seolah-olah dapat merasai kehilangan memandangkan mereka selama ini tidak pernah berpisah.

“Mereka anak-anak 'istimewa' dan tidak dapat berkata-kata untuk meluahkan perasaan. Tetapi saya tahu, mereka rindukan Muhammad Amir yang baru meninggal dunia pada 1 Ogos lalu. Saya boleh rasa apa yang mereka rasa terutama Ain Husna yang gemar meraba mencari abangnya.

"Mereka suka bergurau dengan cara mereka sendiri dan bila seorang daripada mereka sudah tiada, tentu mereka rasa lain. Saya sendiri pun sedih dan rindukan dia (Muhammad Amir) sebab sudah biasa melihat mereka bertiga. Kalau saya ada di rumah, ketika dia meraba cari abangnya saya akan pegang dan tidur bersamanya. Saya tak pernah cakap Muhammad Amir sudah mati. Saya bimbang mereka mengamuk,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kok Keli, semalam.

Mohd Jaafar (tengah) bersama Shaufee (kanan) menziarahi keluarga Mohd Zain di Kok Keli, Tumpat semalam sempena porgram khidmat masyarakat LHDN.
Mohd Jaafar (tengah) bersama Shaufee (kanan) menziarahi keluarga Mohd Zain di Kok Keli, Tumpat semalam sempena porgram khidmat masyarakat LHDN.

Terdahulu, dia menerima menerima sumbangan sempena program khidmat masyarakat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang disertai Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pengurusan), Mohd Jaafar Embong bersama Pengarah Negeri, Shaufee Salleh di kediamannya itu.

Kisah mengenai tiga anak istimewa kepada Mohd Zain itu sebelum ini mendapat liputan media di atas kecekalan serta ketabahan bapa tunggal tersebut menguruskannya anak-anak istimewanya itu.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Amir meninggal dunia secara mengejut di rumahnya pada 1 Ogos lalu dan disedari oleh seorang lagi anaknya, Umi Shamira, 28, ketika mahu mengejutkan dia untuk makan kira-kira jam 9.30 pagi.

Mohd Zain yang bekerja sebagai buruh berkata, anak keempat dari tujuh beradik itu meninggalkan mereka tanpa sebarang perubahan memandangkan tahap kesihatannya seperti biasa.

Selama ini dia bersyukur kerana dua lagi anaknya sanggup membantunya menguruskan anak-anak istimewa itu.

“Umi Shamira tidak dapat bekerja, kena jaga adik-adik sebab saya sudah keluar bekerja, tetapi saya juga hanya boleh bekerja separuh hari sahaja sebab saya sendiri pun ada masalah kesihatan.

“Saya bersyukur dengan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat dan insan yang prihatin. Bantuan ini sedikit sebanyak membantu menyara kami anak beranak terutamanya keperluan dua anak istimewa ini,” katanya.

Dalam pada itu, bagi sesiapa yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan kepada Mohd Zain di akaun Maybank (103016042526).