X

Kindly register in order to view this article
!

Status Kuching FA, Sarawak United dijangka diketahui hari ini

Ab.Ghani Foto: MFL
A
A

SUSULAN krisis pandemik Covid-19 di Sarawak, Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) dijangka membuat keputusan hari ini berhubung status perlawanan membabitkan Kuching FA dan Sarawak United pada baki saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya telah mengadakan pertemuan dengan wakil kedua-dua pasukan bagi mengetahui lebih lanjut berhubung situasi yang dialami mereka ketika ini.

“Kami ada buat perjumpaan dengan pihak Kuching FA dan Sarawak United. Dalam perjumpaan tersebut, mereka telah memberikan pandangan masing-masing mengenai penyambungan semula Liga-M yang bakal bermula 26 Ogos ini.

“Kami juga sedang mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi semasa di Sarawak sebelum membuat sebarang tindakan lanjut sama ada aksi melibatkan kedua-dua pasukan itu akan berlangsung di Sarawak atau Semenanjung.

“Bagaimanapun, sebarang keputusan dijangka dapat dibuat esok (hari ini),” katanya kepada Sinar Harian selepas menghadiri Mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah MFL kali ke-22 yang dipengerusikan Presiden MFL, Datuk Hamidin Mohd Amin semalam.

Mengikut jadual, Kuching FA dijadualkan berdepan Selangor II di Stadium Sarawak manakala Perak II menanti kunjungan Sarawak United di Stadium Majlis Perbandaran Manjung pada 26 Ogos ini.

Dalam pada itu, Ab Ghani berkata, pihaknya juga akan mendapatkan maklumat daripada kerajaan negeri Sarawak khususnya mengenai prosedur operasi standard (SOP) perjalanan merentas negeri.

“Kami cuba dapatkan maklumat berikutan Akta Kawalan Penyakit Berjangkit berada di bawah Akta Kerajaan Negeri Sarawak dan ia berbeza dengan Kerajaan Persekutuan.

“Kami juga akan terima taklimat dalam sehari dua ini berhubung perkara itu selain mendapat maklum balas bagaimana untuk menangani masalah ini termasuk cadangan untuk untuk menghimpunkan pasukan Kuching FA, Sarawak United dan Sabah di Semenanjung bagi mengharungi baki saingan Liga-M,” jelasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!