4,709 majikan daftar pengambilan pekerja

Sulaiman ketika merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Melaka Careertrans 2020 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh semalam.
Sulaiman ketika merasmikan Karnival PenjanaKerjaya Melaka Careertrans 2020 di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh semalam.
A
A
A

MELAKA - Seramai 4,709 majikan telah membuat pengambilan pekerja di bawah program Karnival Penjana Kerjaya yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan berkata, ia membabitkan seramai 15,042 pekerja bagi tempoh antara 5 Jun dan 14 Ogos lalu.

Menurutnya, majikan akan dibayar sebanyak RM800 atau RM1,000 bagi setiap pekerja mengikut kategori selama enam bulan.

Beliau berkata, pekerja yang sanggup berhijrah iaitu lebih daripada 100 kilometer dari kediaman asal mereka juga layak menuntut elaun mobiliti sebanyak RM600 atau RM1,000 sekiranya berasal dari Sabah dan Sarawak.

“Sejak portal pekerjaan MyFutureJobs dilancarkan pada 15 Jun lalu sehingga 14 Ogos, sebanyak 153,460 pelbagai jawatan kosong telah diiklankan.

“Sehubungan itu, saya menyarankan agar majikan yang menghadapi kesukaran mendapatkan pekerja bekerjasama dengan Perkeso untuk mendapatkan calon-calon dari negeri berdekatan,” katanya.

Sulaiman menjalani pemeriksaan kesihatan di dalam bas Perkeso sebelum merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Melaka Careertrans 2020 di MITC, Ayer Keroh hari ini.
Sulaiman menjalani pemeriksaan kesihatan di dalam bas Perkeso sebelum merasmikan Karnival Penjana Kerjaya Melaka Careertrans 2020 di MITC, Ayer Keroh hari ini.

Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibaca oleh Ketua Setiausaha Kementerian Sumber Manusia, Datuk Jamil Rakon ketika Karnival Penjana Kerjaya Melaka Careertrans 2020 yang disempurnakan oleh Ketua Menteri Melaka, Datuk Sulaiman Md Ali di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Artikel Berkaitan:

Hadir sama, Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Hasim Hasan dan Exco Perpaduan Perhubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna Melaka, Datuk Ar Ismail Othman.

Sementara itu, Jamil berkata, seramai 1,404 individu telah menerima faedah daripada elaun mobiliti di seluruh negara yang dibayar dalam jumlah yang ditetapkan dengan syarat tempat kerja melebihi 100 kilometer daripada tempat asal.

Menurutnya, sebanyak 7,934 kekosongan jawatan ditawarkan pada Karnival Penjana Kerjaya Melaka Careertrans 2020 dan

daripada jumlah itu, 4,686 adalah kekosongan jawatan bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

“Kita akan meneruskan dan memperluaskan program kerjaya ini. Setakat ini sebanyak 581 program telah dilaksanakan di bawah kementerian dan kita merancang untuk mengadakan lebih 200 program di seluruh negara,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Sulaiman berkata, kerajaan Melaka meluluskan sumbangan Insentif Caruman Perkeso kepada 325 pengayuh beca berdaftar di negeri ini dengan jumlah peruntukan kira-kira RM51,090.

Sulaiman dibawa menaiki beca untuk ke ruang pameran.
Sulaiman dibawa menaiki beca untuk ke ruang pameran.

Katanya, insentif itu bagi Caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) selain bayaran RM126,546 turut membabitkan caruman kepada 805 pemandu teksi.

Menurut Sulaiman, pihaknya komited dan prihatin dalam membela nasib rakyat sekali gus caruman itu mampu meningkatkan lagi tarafkehidupan serta sosioekonomi rakyat.

“Kita bukan setakat bercakap sahaja, tetapi bertindak dan mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah rakyat termasuk isu-isu berkaitan dengan pengangguran,” katanya.

Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu berkata, penganjuran karnival itu penting dan bermakna bagi pencari kerja, golongan penganggur dan lepasan universiti mahupun sekolah.

“Kerajaan negeri dan Perkeso akan terus membantu mereka yang mencari pekerjaan dengan penganjuran temu duga terbuka di daerah lain seperti Alor Gajah dan Jasin,” katanya.

Dalam pada itu kerajaan negeri juga menaja caruman Perkeso kepada 805 pemandu teksi dengan jumlah caruman sebanyak RM157.20 seorang membabitkan peruntukan keseluruhan RM177,636 bagi caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sosial (SKSPS) selama setahun.