FAM tegas soal lesen

Stuart Ramalingam
Stuart Ramalingam
A
A
A

PERSATUAN Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap bertegas berhubung tarikh akhir bagi semua pasukan Liga Malaysia (Liga-M) untuk melengkapkan proses penswastaan kelab sebelum 30 September depan.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, pihaknya tidak akan mempertimbangkan sebarang permohonan khususnya bagi tujuan melanjutkan tarikh akhir untuk melengkapkan proses penswastaan itu.

Menurutnya, kesemua persatuan bola sepak (FA) negeri perlu mematuhi tarikh yang ditetapkan atau pasukan terbabit bakal berdepan dengan risiko tidak diberikan lesen untuk beraksi dalam saingan Liga-M musim depan.

“FAM tetap dengan keputusan yang telah dibuat sebelum ini bahawa tarikh akhir bagi semua urusan bagi proses penswastaan kelab perlu diselesaikan selewat-lewatnya 30 September depan.

“Begitu juga segala proses urusan setiap pasukan bagi mendapatkan lesen kebangsaan, FAM tetapkan tarikh akhir sehingga hujung bulan ini.

“Kegagalan untuk mendapatkan lesen kebangsaan, bermakna pasukan berkenaan tidak akan dibenarkan untuk beraksi dalam saingan Liga-M musim depan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Sebelum ini, bekas pemain legenda kebangsaan, Datuk Jamal Nasir Ismail menyifatkan saingan Liga-M musim depan dijangka suram berikutan kemungkinan beberapa pasukan tidak dapat beraksi ekoran tidak memperoleh lesen kebangsaan.

Malah, beliau mencadangkan FAM memberikan kelonggaran kepada pasukan yang berdepan dengan masalah kewangan khususnya dalam menyelesaikan proses bagi mendapatkan lesen kebangsaan.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, FAM telah memberikan amaran tidak akan memberikan lesen kebangsaan kepada mana-mana pasukan Liga-M yang gagal menyelesaikan masalah tunggakan gaji pemain atau mempunyai baki hutang tertunggak.

Mengulas lanjut, Stuart berkata, FAM tidak akan mempertimbangkan untuk melonggarkan syarat bagi mana-mana pasukan untuk memperoleh lesen kebangsaan berkenaan.

“Buat masa ini, kita tidak akan memberikan pengecualian kepada mana-mana pasukan. Kita juga sama sekali tidak akan mempertimbangkan apa-apa permohonan bagi melonggarkan syarat-syarat untuk memperoleh lesen kebangsaan,” katanya.