GP Styria: Hafizh Syahrin tak pasti berlumba

Hafizh Syahrin ketika terlibat dalam kemalangan pada GP Austria 16 Ogos lalu.
Hafizh Syahrin ketika terlibat dalam kemalangan pada GP Austria 16 Ogos lalu.
A
A
A

PELUMBA Moto2 negara, Hafizh Syahrin Abdullah masih belum pasti dapat bersaing pada perlumbaan Grand Prix (GP) Styria di Litar Red Bull Ring minggu ini.

Bekas pelumba MotoGP itu kini masih menjalani rawatan pemulihan selepas terlibat dalam insiden kemalangan pada perlumbaan GP Austria di litar sama Ahad lalu.

Menurut Hafizh Syahrin, dia masih lagi merasai kesakitan pada kedua-dua belah kaki terutamanya sebelah kiri sehingga menyebabkannya terpaksa menggunakan topang ketiak.

“Walaupun kaki kiri saya tidak mengalami sebarang kecederaan serius tetapi saya dapat merasakan seperti tulang kaki saya patah. Namun, syukur alhamdulillah saya tidak mengalami tulang patah.

“Cuma setakat hari ini, saya ada berasa sakit pada bahagian dalam, mungkin kecederaan ligamen. Jadi saya kena tunggu beberapa hari ini untuk proses pemulihan.

“Sejak semalam (kelmarin) saya berjalan dengan menggunakan tongkat. Saya harap semuanya akan kembali normal dalam beberapa hari lagi,” katanya menerusi aplikasi WhatsApp semalam.

Pelumba Inde Aspar Team Racing itu terlibat dalam insiden ngeri tersebut apabila merempuh jentera pelumba Italtrans Racing Team, Enea Bastianini yang terjatuh di selekoh pertama sehingga mengakibatkan jenteranya 'tersadai' di atas litar.

Hafizh Syahrin yang ketika itu sedang memecut dengan kelajuan tinggi bersama barisan pelumba lain tidak dapat mengelak dan melanggar jentera Bastianini.

Artikel Berkaitan:

Akibat rempuhan tersebut, pelumba berusia 26 tahun itu dilihat terpelanting jauh menuju ke tepi litar dan jenteranya berkecai sebelum bendera merah dikibarkan dan perlumbaan dihentikan seketika.