Kes SD liwat: Polis panggil individu beri keterangan

Abdul Hamid (dua dari kiri) menyampaikan APC kepada Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM Tahun 2019 di ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. Foto: Bernama
Abdul Hamid (dua dari kiri) menyampaikan APC kepada Pengarah Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Abd Rahim Jaafar (dua dari kanan) pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang PDRM Tahun 2019 di ibu Pejabat Polis Bukit Aman hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah memanggil seorang lelaki bagi memberikan keterangan hari ini berkaitan pendedahan yang mendakwa dirinya dibayar oleh seorang ahli politik untuk melakukan perbuatan liwat.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, sehubungan itu, satu kertas siasatan dibuka dan disiasat oleh Jabatan Siasatan Jenayah untuk memastikan pendedahan yang dibuat dalam bentuk akuan berkanun (SD) itu adalah tulen.

Beliau berkata, pesuruhjaya sumpah berkaitan SD itu turut diambil kenyataannya semalam untuk memastikan akuan tersebut adalah tulen dan individu itu akan dipanggil semula bagi memberikan kerjasama dalam masa terdekat.

Baru-baru ini tular di media sosial melibatkan SD bertarikh 29 Jun lalu yang mendedahkan seorang lelaki dibayar sebanyak RM300 oleh seorang ahli politik tempatan untuk melakukan hubungan songsang di sebuah hotel di Subang pada 2013.

Terdahulu berlangsung Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) PDRM di Mes Pegawai Kanan, Bukit Aman, di sini yang menyaksikan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Pengarah Pengurusan Bukit Aman Datuk Seri Abd Rahim Jaafar antara 10,068 penerima APC bagi tahun 2019.

Dalam perkembangan lain, ditanya mengenai cadangan polis untuk diadakan semula inkues berkaitan kes kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim, Abdul Hamid berkata, perkara itu bergantung kepada keputusan Peguam Negara Tan Sri Idrus Harun.

Menurutnya, cadangan itu susulan daripada desakan orang awam yang mendakwa mempunyai maklumat baharu yang boleh membantu siasatan.

"Siasatan telah dijalankan secara menyeluruh namun saya mohon sesiapa sahaja yang ada maklumat untuk tampil ke hadapan supaya kes ini dapat diselesaikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Muhammad Adib, 24, yang bertugas sebagai anggota bantuan kecemasan Jabatan Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, parah dalam rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia di Institut Jantung Negara selepas 21 hari menerima rawatan.

Pada 27 September tahun lepas, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.- Bernama