Suri rumah cabar Presiden Belarus

Wanita yang tiada pengalaman dalam bidang politik ini telah mencetuskan revolusi kebangkitan rakyat di Belarus. - Foto: Agensi
Wanita yang tiada pengalaman dalam bidang politik ini telah mencetuskan revolusi kebangkitan rakyat di Belarus. - Foto: Agensi
A
A
A

MINSK - Svetlana Tikhanovskaya tidak pernah menyangka beliau akan bertanding untuk jawatan Presiden Belarus atau menjadi pemimpin gerakan protes mega yang kini sedang melanda negara tersebut.

Seperti dalam babak filem, hidup suri rumah berusia 37 tahun dari Mikashevichi, sebuah bandar kecil di selatan Minsk telah berubah dalam sekelip mata menjadi pencabar utama kepada Presiden Alexander Lukashenko yang memerintah negara itu selama 26 tahun.

Tikhanovskaya mengisytiharkan kemenangannya dalam Pilihan Raya Presiden pada 9 Ogos lalu dan turut mendakwa Lukashenko, 65, melakukan penipuan undi demi untuk mengekalkan penggal keenam pemerintahannya.

Tidak lama selepas membuat dakwaan itu, wanita terbabit kemudiannya meninggalkan negara itu untuk ke Lithuania pada 11 Ogos lalu.

Tikhanovskaya bagaimanapun terus memimpin gerakan anti-Lukashenko dari luar negara untuk menggulingkan pemimpin itu hingga mencetuskan protes mega tidak pernah berlaku di Minsk.

Kelmarin, wanita terbabit meningkatkan tekanan kepada Lukashenko yang mendakwa meraih 80 peratus undi dengan memaklumkan beliau sedia menjadi ‘pemimpin negara’ tersebut.

“Saya tidak mahu jadi ahli politik. Tetapi, takdir telah menentukan saya akan berada di barisan hadapan dalam konfrontasi menentang ketidakadilan dan pemerintahan diktator.

“Saya bersedia memikul tanggungjawab tersebut dan menjadi pemimpin negara sepanjang tempoh ini,” kata bekas guru bahasa Inggeris itu lagi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, beliau bertanding kerana mahu membebaskan suaminya, Sergei Tikhanovsky ditahan atas tuduhan merancang rusuhan besar-besaran.

Suruhanjaya Pilihan Raya Pusat Belarus bagaimanapun membenarkan wanita itu menjadi calon pembangkang dan membatalkan permohonan dua calon pembangkang yang berpengaruh.

Bak kata pepatah, ‘tuah ayam nampak di kaki, tuah manusia siapa yang tahu’, Tikhanovskaya menjadi pemimpin utama pembangkang dalam waktu singkat walaupun tiada pengalaman dalam politik.

Penyokong Tikhanovskaya berarak sambil membawa bendera gergasi ketika tunjuk perasaan di Minsk. - Foto: AFP
Penyokong Tikhanovskaya berarak sambil membawa bendera gergasi ketika tunjuk perasaan di Minsk. - Foto: AFP

‘Joan of Arc’ moden

Menerusi ucapannya menjelang pilihan raya tersebut, Tikhanovskaya menggelar dirinya sebagai ‘wanita biasa, seorang ibu dan isteri’.

“Saya telah menjadi inspirasi kepada harapan rakyat yang mahukan perubahan,” ujarnya.

Momentum tidak masuk akal di sebalik kempen pilihan raya beliau turut mencetuskan perbandingan dengan pahlawan sejarah.

The Village, sebuah laman berita berpusat di Minsk turut menggelarnya sebagai ‘Joan of Arc’ merujuk kepada petani muda pada abad ke-15 di Perancis yang berjuang habis-habisan melawan tentera Inggeris sebelum dibakar hidup-hidup.

Walaupun pada awalnya, beliau kelihatan teragak-agak ketika muncul di TV, Tikhanovskaya tetap mendapat pujian menerusi ucapannya selepas kempennya mula mendapat momentum.

Wanita itu dengan berani turut menyenaraikan penipuan dibuat rejim Lukashenko dan berulang kali menyindir, ‘mereka tidak akan tunjuk ini di TV’.

Ucapannya yang mudah difahami dan lantang juga sering mendapat sorakan para penyokongnya.

Presiden Rusia, Vladimir Putin (kanan) yang mempunyai hubungan rapat dengan Lukashenko menyatakan beliau sedia memberi bantuan untuk mengawal keselamatan di Belarus. - Foto: Agensi
Presiden Rusia, Vladimir Putin (kanan) yang mempunyai hubungan rapat dengan Lukashenko menyatakan beliau sedia memberi bantuan untuk mengawal keselamatan di Belarus. - Foto: Agensi

Protes berterusan

Tikhanovskaya melakukan transformasi selepas terjun ke dunia politik dengan bantuan dua wanita yang mempunyai lebih banyak pengalaman dalam bidang itu.

Mereka ialah Veronika Tsepkalo, isteri bekas diplomat, Valery Tsepkalo yang dilarang bertanding dan Maria Kolesnikova yang merupakan ketua kempen untuk bekas ketua bank komersial Belgazprombank, Victor Babaryko yang juga digugurkan daripada pencalonan serta ditahan kerana disyaki terlibat jenayah kewangan.

Kehadiran Tsepkalo dan Kolesnikova yang sentiasa mengiringi Tikhanovskaya pada setiap kempen pilihan raya menyebabkan trio tersebut mendapat jolokan Charlie’s Angels, siri TV dan filem aksi yang menonjolkan girl power (kuasa wanita).

Ketika ini, Belarus yang mempunyai populasi 9.5 juta penduduk masih dilanda protes mega anti-Lukashenko yang masuk hari kesembilan berturut-turut telah mencetuskan kebimbangan dalam kalangan negara anggota Kesatuan Eropah (EU).

Lebih 100,000 penunjuk perasaan menyertai 'Perarakan Kebangsaan' itu sambil mengibarkan bendera pembangkang berwarna merah dan putih sebagai menyahut seruan Tikhanovskaya. - AFP