Carilah keberkatan dalam bekerja

No Image Caption
A
A
A

TENTU anda masih ingat ketika di sekolah rendah, cikgu pernah bertanya apa cita-cita apabila dewasa nanti? Ada yang mahu menjadi doktor sebab ikut ayahnya yang juga seorang doktor. Ramai juga yang mahu jadi polis atau askar sebab terpengaruh dengan siri aksi di televisyen.

Apabila meningkat dewasa, sebahagian besar tidak akan mencapai cita-cita tersebut kerana minat manusia sentiasa berubah ikut masa.

Masa kecil mungkin berangan-angan mahu jadi askar. Apabila sudah dewasa, pemikiran semakin matang dan terdedah kepada persekitaran dunia luar, lain pula minatnya. Daripada bercita-cita menjadi doktor, berubah pula nak jadi artis.

Cita-cita merujuk kepada kerja. Pada masa kini, kerja merupakan satu keperluan utama dalam hidup. Matlamatnya untuk mendapatkan duit bagi menyara diri dan keluarga.

Tipulah kalau ada yang kata mereka bekerja bukan untuk duit tetapi untuk kepuasan. Kalau betullah begitu, berebut-rebutlah syarikat mencari pekerja yang tak mahukan gaji, tapi mahu kepuasan.

Bagi yang mempunyai kerja, bersyukurlah. Tidak kira sama ada kerja di pejabat berhawa dingin, di tapak projek pembinaan, di ladang-ladang, bahkan di dapur sebagai suri rumah.

Melihat kepada laporan Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran di Malaysia pada Mei lalu mencatatkan 826,100 orang dan jumlah itu dijangka terus meningkat berikutan pandemik Covid-19 masih belum reda.

Ramai yang berhempas-pulas mencari kerja baharu selepas syarikat terpaksa ditutup atau mengecilkan operasi. Nak cari kerja bukan senang, terpaksa pula bersaing dengan ribuan pelajar yang keluar universiti saban tahun.

Artikel Berkaitan:

Majikan

Bagi majikan pula, mereka tidak lagi menghadapi masalah untuk mencari pekerja. Tidak perlu lagi iklankan jawatan kosong dalam surat khabar seperti tahun 1980-an dan 1990-an. Iklankan saja dalam internet, bertimbun-timbunlah resume akan sampai.

Namun, apabila sudah terlalu ramai memohon kerja, cabaran pula bagi majikan untuk memilih. Walaupun layak dari segi akademik, tetapi ‘sikap’ perlu diambil kira.

Kalau tersalah ambil pekerja, reputasi majikan terjejas. Itu yang terjadi kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) apabila kakitangan mereka disyaki terlibat rasuah di Sungai Buloh. Perbuatan segelintir anggota penguat kuasa itu menyebabkan keseluruhan reputasi MBSA kini tercalar.

Penulis teringat sebuah syarikat swasta di Rawang, Selangor yang mempunyai cara tersendiri ketika menjalani sesi temu duga untuk memilih pekerja baharu.

Salah satu soalan yang ditanya panel temu duga adalah berkenaan solat lima waktu. Panel temu duga bertanya kepada calon sama ada mereka solat atau tidak.

Sekiranya calon mengaku tidak solat, tetapi panel temu duga mendapati calon itu layak diambil bekerja, mereka akan diberi tawaran iaitu kena berjanji akan menjaga solat lima waktu.

Cara itu nampak berkesan dan sehingga hari ini syarikat tersebut terus maju hasil pekerjanya yang beretika, rajin dan tidak pernah terlibat rasuah. Mungkin cara ini boleh dijadikan contoh bagi syarikat lain di luar sana.

Mungkin ini yang dimaksudkan peniaga burger kontroversi, Mohd Asri Hamid bahawa kakitangan yang menjaga solat akan menjaga etika kerjanya. Ada benarnya, namun Asri mungkin terlalu ghairah mengulas sehingga memukul rata isu solat sehingga mengaitkan semua anggota polis dan tentera. Asri sudah pun minta maaf dan biarlah polis menyiasat kenyataan kontroversinya itu.

Bak kata seorang sahabat penulis di Jabatan Sumber Manusia sebuah syarikat, untuk mencari 1,000 pekerja, itu mudah. Tapi nak mencari seorang pekerja yang bertanggungjawab, amat sukar.

Lebih bahaya jika tersalah ambil pekerja ‘tong kosong’ iaitu pandai berkata-kata tapi selalu goyang kaki. Atau pekerja LLB atau look like busy yang nampak macam sibuk tapi sebenarnya tidak buat apa-apa.

Apa pun, setiap kerja yang kita lakukan perlu ada keberkatan. Jika tiada keberkatan, gaji banyak mana pun rasa tidak cukup dan akhirnya terjebak dengan amalan rasuah. Langsung hidup pun tak berkat!

* Ahmad Syahrul Derauh ialah Ketua Unit Pemerolehan Berita Sinar Harian