'Adik teruja nak ambil kursus silibus memandu'

No Image Caption
A
A
A

MARAN - Hasrat seorang tenaga pengajar di sebuah sekolah memandu untuk menyertai kursus silibus memandu tidak kesampaian apabila dia terbunuh susulan kejadian takal besi jatuh dari kren lalu menimpa kereta dinaiki bersama ibunya dalam kejadian di Kilometer 91, Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Maran, malam tadi.

Menurut salah seorang adik beradik mangsa dikenali sebagai Zamzurina Ismail,41, Allahyarham Mohd Faizal Ismail, 38, sangat teruja untuk menyertai kursus berkenaan di Johor selepas tiga tahun menunggu dan dia sepatutnya bertolak ke negeri tersebut selepas menghantar ibu mereka, Fatimah Mat Hussain,72, ke Felda Jengka 6, sebelum kejadian itu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.45 malam tadi, mangsa maut di tempat kejadian selepas sebuah takal besi jatuh lalu menghempap kereta jenis Perodua Axia dipandu mangsa di Kilometer (KM) 91 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur dekat Batu 13 di sini.

Zamzurina
Zamzurina

"Allahyarham dalam perjalanan menghantar ibu selepas ibu datang adik di Temerloh, semalam. Adik merupakan anak bongsu daripada lima beradik dan memang rapat dengan ibu.

"Adik ada beritahu dia teruja nak sertai kursus silibus memandu untuk beberapa hari selepas menanti peluang sejak beberapa tahun lalu. Sepatutnya selepas menghantar ibu, dia bertolak terus ke Johor," katanya ketika ditemui di rumah keluarganya di Felda Jengka 6 di sini hari ini.

Tambahnya, sebelum kejadian itu adiknya seorang yang ceria dan bersikap seperti biasa.

ARTIKEL BERKAITAN: Cikgu sekolah memandu maut, kereta dihempap besi kren

Mangsa meninggalkan seorang isteri dan lima anak berusia dari 13 hingga dua tahun.

Artikel Berkaitan:

"Isteri mangsa masih trauma dan anak-anak yang masih kecil masih tidak mengerti mengenai kejadian yang menimpa bapa mereka. Buat masa ini kami adik-beradik menunggu hasil siasatan polis dan berharap saksi dapat tampil membantu siasatan, katanya ketika ditemui.

Ditanya mengenai tindakan seterusnya, dia dan adik-beradiknya masih belum membuat keputusan berhubung tindakan lanjut berhubung kejadian menimpa Allahyarham Mohd Faizal

namun tidak menolak kemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak terlibat dalam kejadian itu demi keadilan kepada keluarga mangsa.

"Buat masa ini, kami perlu fikirkan keadaan ibu yang belum sedarkan diri dan masih tidak mengetahui nasib yang menimpa adik," tambahnya.

Menurutnya, kali terakhir berjumpa adiknya itu adalah ketika meraikan Aidiladha lalu.

Sementara itu, abang Allahyarham, Mohd Dahlan,47 memberitahu, kali terakhir mereka memancing bersama di Sungai Semantan adalah selepas sambutan Aidiladha lalu.

"Adik tidak menunjukkan sebarang perubahan cuma dia kelihatan kurus sedikit selepas aktif bersukan di gimnasium.

"Cuma baru-baru ini adik ada bertanyakan jenama baju kemeja milik saya dan ingin membeli baju tersebut" ujarnya.

Terdahulu, Allahyarham Mohd Faizal selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Jengka 6 kira- kira jam 7 pagi tadi.