Perolehan F-16 perkukuhkan Taiwan

F-16V
F-16V
A
A
A

SETELAH tertangguh lebih 15 tahun, Taiwan akhirnya memuktamadkan program perolehan 66 buah pesawat tempur pelbagai peranan F-16V buatan firma Amerika Syarikat (AS), Lockheed Martin bernilai AS$8 bilion.

Dua pesawat pertama dijangka diterima pada tahun 2023 bagi ujian manakala baki pesawat tiba secara berperingkat-peringkat mulai tahun berikutnya sehingga tahun 2026.

Kesemuanya melibatkan 56 buah pesawat satu tempat duduk dan selebihnya dua tempat duduk.

Perolehan ini sebenarnya adalah untuk menggantikan pesawat F-5 dan Mirage 2000 yang berusia lebih 40 tahun setelah tergendala termasuk akibat campur tangan politik dalam negara.

F-16V merupakan generasi terkini dalam keluarga F-16 yang sarat dengan teknologi mutakhir sebagai pesawat tempur pelbagai peranan generasi keempat paling ampuh.

Nadi utama pesawat ini ialah sistem radar APG-83 AESA yang boleh menjejak dan mengesan sehingga 20 sasaran dengan jangkauan pengesanan sejauh 320 kilometer.

Sejak mula terbang pada tahun 1978, kira-kira 4,500 buah pesawat F-16 pelbagai variasi dioperasikan oleh 26 buah negara selain teruji dalam beberapa pertempuran.

Perolehan ini turut mengukuhkan penguasaan firma Lockheed Martin berbanding pengeluar lain berikutan tempahan F-16 kini mencecah 90 buah.

Artikel Berkaitan:

Penjualan pesawat berkenaan telah diberi lampu hijau oleh Presiden Donald Trump pada Oktober 2019. Seperti dijangka, ia membangkitkan kemarahan Beijing yang sejak puluhan tahun menekan negara-negara lain agar tidak menjual kelengkapan perang kepada Taiwan.

Ini juga merupakan kelulusan kelima penjualan aset pertahanan ke negara sahabat yang diluluskan Trump sejak mengambil alih pentadbiran Rumah Putih.

Washington pada bulan lalu menentang hasrat peluasan wilayah maritim China di Laut China Selatan yang menyaksikan negara itu menghantar kapal-kapal perang ke perairan tersebut sebagai tindak balas.

Bagi Taipei pula, ia memberi isyarat jelas sokongan Washington terhadap negara pulau itu yang berhadapan dengan provokasi China di Selat Taiwan.

Sepanjang tahun ini Beijing dikesan telah melakukan 2,000 pencerobohan di ruang udara Taiwan.

Pada masa sama, perolehan ini juga memerlukan Taiwan menggandakan program melatih bakal juruterbang serta kru yang lain mengikut jumlah yang diperlukan.

Ketika ini Taiwan turut mengoperasikan kira-kira 142 buah pesawat F-16A dan F-16B yang dibeli pada tahun 1992. Sebanyak 20 buah ditempatkan di AS untuk latihan.

Firma Lockeed Martin pada Januari lalu juga telah menerima kontrak bernilai AS$1 bilion untuk menaik taraf pesawat-pesawat ini menerusi program Peace Phoenix Rising yang dijangka siap menjelang lima tahun akan datang.

Selain itu, ia juga memiliki 103 buah pesawat tempur F-CK1 yang dibina firma tempatan, Aerospace Industrial Development Corporation pada tahun 1999.

Melihat pada atas kertas, pembelian 66 buah pesawat F-16V sebenarnya tidak mampu menyaingi kekuatan udara China yang jumlahnya berkali ganda, namun ia boleh menyebabkan Beijing berfikir dua kali sekiranya ingin bertindak di luar batasan.

Selain itu, ini juga dijangka memberi kesan ekonomi kepada China apabila perlu meningkatkan perbelanjaan pertahanan pada masa hadapan dalam usaha untuk terus memberi tekanan kepada Taiwan.

Sungguhpun begitu, provokasi mengikut perspektif China ini pula akan digunakan sebagai alasan untuk Beijing terus memacu pemodenan angkatan tenteranya.

Bagi Taiwan pula, perolehan ini bukan mencetuskan perlumbaan senjata di rantau tersebut sebaliknya tindakan yang perlu dilakukan mana-mana negara demi mengekalkan keupayaan untuk mempertahankan diri daripada musuh.

*Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu