Bimbang konflik baru akan muncul di Iraq

Anggota-anggota Briged ke-13 Hashed al-Shaabi menyertai majlis tamat latihan di Karbala, Iraq pada 30 Ogos tahun lalu. - Foto AFP
Anggota-anggota Briged ke-13 Hashed al-Shaabi menyertai majlis tamat latihan di Karbala, Iraq pada 30 Ogos tahun lalu. - Foto AFP
A
A
A

SERANGAN atas beberapa kepentingan Amerika Syarikat (AS) di Iraq yang dilakukan oleh para pejuang pro-Iran didapati semakin meningkat sejak kebelakangan ini.

Peningkatan itu pula berlaku menjelang pertemuan antara Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi dengan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang dijadualkan berlangsung pada Khamis ini.

Mustafa akan berjumpa buat kali pertama dengan Trump dengan agenda utama perbincangan mereka adalah mengenai kehadiran kira-kira 5,000 anggota tentera yang ditempatkan di tanah airnya.

Beliau yang memegang jawatan itu pada bulan Mei lalu kini turut berdepan dengan cabaran daripada kumpulan Hashed al-Shaabi atau Unit Pergerakan Popular Iraq.

Ia dianggotai puak-puak militia dan ditubuhkan pada tahun 2014 bagi menentang kumpulan Negara Islam Iraq dan Syam (Daesh).

Ia merupakan sebuah kumpulan Syiah yang mempunyai hubungan rapat dengan Iran.

Sebelum ini perwakilan politik kumpulan tersebut mendesak supaya tentera AS keluar dari Iraq.

Dari Oktober sehingga Julai lalu, kumpulan-kumpulan bersenjata di Iraq melancarkan 39 serangan roket menentang kepentingan AS di negara tersebut.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, selepas Rumah Putih mengesahkan pada awal bulan ini bahawa Trump akan bertemu dengan Mustafa pada Khamis ini, serangan tersebut semakin meningkat.

Antara bulan 4 dan 16 Ogos, 13 bom dan serangan roket menyasarkan konvoi logistik Iraq untuk tentera AS, pangkalan-pangkalan yang menempatkan askar-askar AS dan kedutaan AS.

Walaupun kesan daripada serangan itu kecil, ia menunjukkan kekuatan kumpulan-kumpulan tersebut.

Selepas serangan berlaku terhadap konvoi di selatan Iraq, seorang lelaki pula ditangkap kerana memiliki bom dan kad kumpulan Hashed al-Shaabi yang membolehkannya menyeberangi pusat pemeriksaan tanpa diperiksa, kata sumber perisikan kepada AFP.

Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi akan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis ini. - Foto AFP
Perdana Menteri Iraq, Mustafa al-Kadhemi akan bertemu dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Khamis ini. - Foto AFP

Bagaimanapun, Mustafa yang merupakan bekas wartawan dan mantan ketua perisik Iraq, yang dilantik presiden negara itu, Barham Salleh sebagai perdana menteri bagi menggantikan Adnan Zurfi kerana gagal membentuk kerajaan pernah mengarahkan satu serbuan dilakukan ke atas ibu pejabat sebuah kumpulan militia berpengaruh iaitu Briged Kataeb Hezbollah.

Kumpulan Syiah itu yang mendapat sokongan Iran dituduh melakukan serangan ke atas beberapa kemudahan tentera di negara berkenaan.

Dalam serbuan itu, sejumlah pelancar roket dirampas dan 13 anggota pejuang ditangkap.

Pada bulan April lalu, Kataeb Hezbollah mendakwa Mustafa bertanggungjawab terhadap kematian pemimpinnya, Abu Mahdi al-Muhandis dan pegawai tinggi Iran, Jeneral Qassem Soleimani selain mendakwa bekerjasama rapat dengan AS.

Justeru, beberapa kumpulan militia tentera yang berfahaman Syiah tetapi pro-Iran didakwa kerap terlibat dalam serangan-serangan di Iraq.

Sebelum ini pun, sebuah blok politik yang bersekutu dengan Iran, Fatah tidak bersetuju dengan pelantikan Mustafa sebagai perdana menteri.

Mustafa yang memegang ijazah undang-undang dan lebih dikenali sebagai seorang wartawan sebelum dilantik sebagai ketua perisikan Iraq telah mencetuskan kemarahan beberapa kumpulan militia tentera tersebut apabila merampas pos-pos sempadan daripada mereka.

Pos-pos sempadan itu pernah digunakan oleh kumpulan-kumpulan tersebut untuk tujuan penyeludupan dan mengenakan cukai terhadap pedagang.

Dilahirkan pada tahun 1967 di Baghdad, Mustafa meninggalkan Iraq pada tahun 1985 ke Iran sebelum pergi ke Jerman dan United Kingdom sebelum kembali ke Iraq pada tahun 2003 serta menjadi pengasas Rangkaian Media Iraq.

Gambar fail menunjukkan dua anggota tentera Amerika Syarikat di pangkalan tentera Balad, Iraq. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan dua anggota tentera Amerika Syarikat di pangkalan tentera Balad, Iraq. - Foto AFP

Beliau yang dipilih sebagai perdana menteri daripada satu senarai calon juga dikenali sebagai penentang pemerintahan diktaktor Saddam Hussein.

Namun, peningkatan serangan di negara tersebut seolah-olah memberi petunjuk bahawa beliau tidak mampu menghalang kejadian itu daripada berlaku hanya dengan mengadakan serbuan dan tangkapan.

Pada akhir bulan ini, seramai 14 anggota pejuang dari Briged Hezbollah iaitu salah satu puak kumpulam Hashed al-Shaabi ditangkap kerana didakwa melakukan serangan ke atas rakyat AS.

Namun, 13 daripada mereka dibebaskan berikutan keputusan yang dibuat oleh hakim tentera Hashed al-Shaabi.

Hashed al-Shaabi juga menafikan sebarang hubungan dengan serangan anti-AS tetapi video-video dan dakwaan di media sosial didakwa memberi petunjuk penglibatannya walaupun ia beroperasi dengan menggunakan pelbagai nama.

"Anggota-anggota yang membentuk kumpulan militia baru kebanyakannya adalah dari kumpulan-kumpulan bersenjata yang wujud sebelum pembentukan Hashed al-Shaabi," kata Ramzy Mardini dari Institut Pearson, Universiti Chicago, AS.

Bagi kebanyakan rakyat Iraq. peningkatan keganasan itu mengingatkan mereka kepada serangan kumpulan bersenjata terhadap AS yang melakukan pencerobohan di negara tersebut pada tahun 2003 bagi menggulingkan Saddam.

Di selatan negara itu yang kebanyakannya didiami penduduk berfahaman Syiah dan berlaku serangan oleh puak-puak bersenjata, ia menimbulkan kebimbangan tentang nasib sama yang pernah menimpa penduduk di wilayah berfahaman Sunni.

Wilayah-wilayah yang didiami penduduk Sunni itu musnah akibat perang bagi menentang puak-puak bersenjata tersebut.

Di negara yang pernah berlaku peperangan mazhab selama 10 tahun antara Sunni dengan Syiah, kerajaan kini bimbang akan berlakunya satu konflik baru di Iraq. - Agensi