Maxis sasar jadi syarikat telekomunikasi pertama lancar 5G

Perancangan pelaksanaan 5G Maxis telah bermula sejak 2018 lagi apabila syarikat itu menyertai pelbagai percubaan makmal dan lapangan.
Perancangan pelaksanaan 5G Maxis telah bermula sejak 2018 lagi apabila syarikat itu menyertai pelbagai percubaan makmal dan lapangan.
A
A
A

MAXIS Bhd menyasarkan menjadi syarikat telekomunikasi pertama yang melancarkan perkhidmatan 5G di Malaysia, kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Gokhan Ogut.

“Kami merupakan syarikat pertama melancarkan 4G dan kami mahu terus berbuat demikian,” katanya sambil menambah Maxis telah bersedia untuk melancarkan rangkaian 5G dan kini sedang menunggu kerajaan mengeluarkan spektrum.

Pada Julai lepas, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin berkata, keputusan sama ada spektrum 5G 700 MHz akan diperuntukkan kepada satu konsortium atau pemegang lesen individu masih sedang dibincangkan.

Gokhan berkata, perancangan pelaksanaan 5G Maxis telah bermula sejak 2018 lagi apabila syarikat itu menyertai pelbagai percubaan makmal dan lapangan.

“Pada Oktober tahun lepas, kami telah menyiapkan persediaan teknikal kami dari segi pelaburan dalam rangkaian semasa dan peralatan dengan rakan kongsi jangka panjang kami.

“Bagi menyediakan perkhidmatan 5G, kami telah menyelesaikan pemilihan peralatan kami. Jadi, sejak itu, kami telah bersedia untuk melancarkan 5G,” katanya semasa sidang akhbar maya selepas pelancaran tujuan jenama baharu Maxis hari ini.

Beliau berkata, tujuan jenama baharu itu diperkenalkan bersempena dengan ulang tahun ke-25 Maxis dan sambutan Hari Kemerdekaan negara ke-63 yang bertujuan untuk memacu penggunaan teknologi terbaik bagi membantu masyarakat, perniagaan dan negara untuk ‘Sentiasa Berada di Hadapan’ dalam dunia yang berubah.

Menurutnya, pengenalan tujuan jenama baharu itu juga merupakan sebahagian daripada pelan transformasi lima tahun Maxis untuk menjadi syarikat penyelesaian konvergen utama.

Artikel Berkaitan:

“Kami percaya tujuan jenama baharu ini akan membantu kami mencapai visi kami, harapnya lebih awal daripada yang kami sasarkan, sekali gus menyumbang kepada keputusan perniagaan yang lebih baik,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada kempen tersebut, Maxis akan melancarkan beberapa siri program pendigitalan bagi individu dan perniagaan sepanjang tahun ini dan akan menawarkan tawaran istimewa bersempena dengan sambutan ulang tahunnya.

Program pendigitalan itu terdiri daripada beberapa siri inisiatif bagi menyediakan bantuan dan kemahiran asas untuk mempercepat penggunaan digital dalam masyarakat di seluruh negara.

Inisiatif itu termasuklah program keselamatan siber bagi pelajar eKelas di sekolah dan 82 pusat Internet di seluruh negara, dan Digital 101 bagi perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di bawah Maxis Business untuk membimbing mereka menguasai pemasaran digital dan e-dagang menerusi bengkel kerja. - Bernama