Warga emas rugi RM9,000 ditipu sindiket bantuan sara hidup

No Image Caption
A
A
A

KUCHING – Seorang warga emas berusia 68 tahun kerugian RM9,000 selepas menjadi mangsa sindiket penipuan bantuan sara hidup di Sarikei, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Sarawak, Superintendan Mustafa Kamal Gani Abdullah berkata, ketika kejadian, suri rumah yang berada Pasar Sentral telah didatangi seorang wanita yang menerangkan cara mendapatkan Bantuan Sara Hidup.

“Setelah itu, mangsa diajak suspek masuk ke dalam sebuah kereta bersama dua lelaki yang tidak dikenali ke satu destinasi untuk menguruskan proses bantuan tersebut.

“Mangsa kemudian telah dibawa ke Pangkalan Feri Lama di Sungai Nyelong dan diarahkan untuk menyerahkan kesemua barang kemas miliknya berserta buku bank, kad ATM, kad pengenalan diri, kunci rumah dan tablet sebelum ditinggalkan di situ,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mustafa berkata, menyedari dirinya ditipu, mangsa kemudian bertindak membuat laporan polis.

Orang awam dinasihati berwaspada dan tidak mudah terpedaya dengan pihak-pihak yang menawarkan sebarang bantuan, jika ada individu yang mencurigakan, laporkan ke balai polis berdekatan.- Bernama

Artikel Berkaitan: