Covid-19: Nafi Kedah sebagai zon merah

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah ketika sidang media harian berkaitan jangkitan Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. -Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan meletakkan Kedah sebagai zon merah berikutan empat kluster koronavirus (Covid-19) dikesan di negeri itu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, setakat ini daerah yang terlibat dengan penularan wabak itu masih berada di bawah zon kuning iaitu satu hingga 39 kes.

"Sekiranya kes melebihi 40 bagi satu kawasan barulah kita isytihar zon merah namun setakat ini masih lagi zon kuning," katanya pada sidang media perkembangan terkini Covid-19 di kementeriannya di sini hari ini.

Menurutnya, KKM tidak menumpukan terhadap daerah ataupun lokaliti sebaliknya melakukan tindakan kawalan kesihatan awam mengikut kumpulan sasar.

"Kita mengesan ahli keluarga sekiranya ada yang dijangkiti. Itu lebih efektif daripada melaksanakan mengikut lokaliti," katanya.

Sebanyak empat kluster dikesan di negeri itu sejak dua minggu lalu.

Ia melibatkan Kluster Sivagangga, Kluster Tawar, Kluster Sala dan Kluster Muda.

Daerah Kulim merekodkan kes positif Covid-19 tertinggi iaitu 22 kes, diikuti Kuala Muda (16), Baling (13), Yan empat kes dan Kota Setar serta Kubang Pasu masing-masing tiga kes.

Artikel Berkaitan:

Pada perkembangan sama, Dr Noor Hisham berkata, amalan melawat pesakit di hospital mungkin menyumbang kepada penularan jangkitan membabitkan Kluster Sala.

Katanya, kes indeks mempunyai sejarah menziarahi pesakit bersama beberapa ahli keluarganya.

"Walaupun tiada kes positif dikesan daripada saringan di hospital tersebut, namun kesemua ahli keluarga yang telah pergi bersamanya dikesan positif Covid-19.

"Jangkitan Covid-19 seterusnya merebak kepada kontak rapat kes indeks dan ahli keluarga," katanya.

Setakat ini, 635 individu yang terdiri daripada kluster itu telah disaring di Kedah dan Pulau Pinang.

"Seramai 146 masih menunggu keputusan dan 483 disahkan negatif," katanya.

Menyentuh mengenai Kluster Tawar, beliau berkata, KKM mendapati terdapat perhimpunan di kalangan ahli keluarga yang tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

"Misalnya kapasiti perhimpunan tidak mengikut saiz ruang dan penjarakkan fizikal," katanya.

Menurutnya, ia telah menyebabkan berlaku penularan secara meluas meskipun kes indeks dan punca sebenar masih dalam siasatan.

Seramai 1,490 individu telah disaring di Kedah, Pulau Pinang dan Perak.

Daripada jumlah itu, 47 disahkan positif manakala 1,083 negatif dan 522 orang masih menunggu keputusan.