X

Kindly register in order to view this article
!

KPKT bayar pampasan 24 projek PR1MA yang batal: Zuraida

Zuraida
Zuraida
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan akan membayar pampasan bagi 24 projek Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang dibatalkan, kata Menterinya Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, nilai pembayaran pampasan itu bergantung kepada nilai tanah bagi kawasan terlibat.

"Kebanyakan tanah tersebut telah dibeli oleh KPKT. Cuma ada yang telah dibuat surat tawaran pada ketika itu, iaitu mereka telah buat kerja-kerja awal. Perkara itu kita akan lihat. Kalau ada kerja telah dilakukan kita akan beri pampasan.

"Tanah-tanah ini kurang baik iaitu tidak strategik seperti jauh dan tiada pasaran, kita nak pulangkan semula ataupun kita memberi pampasan. Jadi kita dapati tanah bagi projek ini tidak produktif, kita lihat ke depan apa yang boleh diusahakan dengan tanah tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan majlis penyerahan pelitup muka tiga lapisan bagi kawasan Parlimen Ampang di Dewan Kampung Sri Tanjung, Kampung Melayu Ampang hari ini.

Zuraida menjelaskan projek (PR1MA) diselaraskan bawah sistem Jabatan Perumahan Nasional, iaitu termasuk Perumahan Penjawat Awam Malaysia (PPAM) dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB).

"Dalam menyelaraskan ini, kita nak pastikan bahawa tidak ada kerugian selanjutnya dan kita ambil tanah yang baik untuk kita bangunkan. Pendekatan bagi PR1MA ini untuk kurangkan kerugian. Pastinya kita tidak akan untung dengan projek ini. Apa yang kita sedangkan lakukan adalah minimum kerugian," katanya.

Sebelum ini Zuraida memaklumkan sebanyak 24 projek PR1MA dibatalkan, bagaimanapun, daripada keseluruhan 94 projek itu, 70 masih diteruskan.

Sementara itu Zuraida yang juga merupakan Ahli Parlimen Ampang berkata pihaknya menerima empat tan kain perca daripada Kumpulan Jakel untuk dijadikan 'pelitup muka kitar semula' yang akan diagihkan kepada pelajar sekolah rendah di kawasan Parlimen Ampang dan seluruh negeri Selangor.

Beliau berkata pihaknya menyasarkan sebanyak 50,000 keping pelitup muka fabrik itu untuk diagihkan kepada murid sekolah rendah dalam kalangan B40 bermula dengan kawasan Parlimen Ampang.

"Selain itu pihak saya turut membantu suri rumah dengan membayar upah jahit pelitup muka tersebut dengan harga RM2 sekeping. Setakat ini bagi kawasan saya, terdapat 40 tukang jahit pelitup muka dan sasarannya adalah 200 tukang jahit di seluruh Selangor," katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!