Perlu rujuk Mesyuarat Khas Menteri sebelum perkenal SOP PKPP

Ismail Sabri - Foto Bernama
Ismail Sabri - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan negeri diminta merujuk kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri Mengenai Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sebelum melaksanakan sesuatu prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang sedang dikuatkuasakan sekarang.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ini bagi mengelak terdapatnya perbezaan dengan SOP yang dilaksanakan di peringkat kerajaan pusat.

“Ada negeri-negeri yang buat keputusan sendiri, untuk membatalkan dan tidak benarkan beberapa aktiviti perniagaan dan aktiviti sosial... ada tidak benarkan kedai gunting rambut dan ada arahkan taman mainan mesti ditutup malah ada negeri bercadang tutup beberapa kampung tertentu di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

“Jadi kita mohon negeri berkaitan ini supaya merujuk dahulu kepada Mesyuarat Khas Menteri-Menteri, sama ada boleh dibenarkan atau tidak, seperti dilakukan oleh Sarawak suatu ketika dahulu yang memohon kebenaran untuk menyekat perjalanan rentas zon,” katanya pada sidang akhbar perkembangan PKPP di Bangunan Parlimen, di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, jika sesuatu undang-undang itu dilaksanakan tanpa kelulusan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), pelaksanaan peraturan itu tidak boleh dikuatkuasakan, malah ia boleh dicabar di mahkamah jika tetap dilakukan.

“Polis sebagai contohnya untuk kawal dan ambil tindakan, hanya mengikut peraturan yang dikeluarkan oleh kerajaan Persekutuan.

“Mereka akan rujuk punca kuasa, di bawah KKM Akta 342, iaitu di bawah bidang kuasa Persekutuan, jadi kalau mereka laksanakan dan tindakan diambil tindakan, ia sebenarnya boleh dicabar di mahkamah,” katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, walaupun KKM telah mengesan virus mutasi D614G daripada pesakit Kluster Sivagangga dan Bukit Tiram, penularan virus tersebut dapat dikawal dengan langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar (PKPDB) di lokaliti yang terlibat.

Artikel Berkaitan:

“Keadaan ini (PKPDB) dilihat berjaya dan sampai hari ini tiada jangkitan baharu Kluster Sivagangga,” katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, peningkatan kes mendadak dalam Kluster Sivagangga, antara bukti mutasi jenis D614G boleh menyebabkan Covid-19 menjadi 10 kali lebih mudah berjangkit.

Katanya, KKM mendapati Kluster Sivagangga merebak dengan cepat dan kajian makmal juga mengenal pasti ia disebabkan mutasi jenis D614G. - Bernama