RUU langkah sementara Covid-19 dibentang kali kedua

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rang Undang-Undang (RUU) yang dinamakan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus (Covid-19) 2020) dibentangkan di Dewan Rakyat untuk bacaan kali kedua hari ini bagi memohon perbekalan tambahan sebanyak RM45 bilion.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, RUU itu adalah bagi membolehkan kerajaan menaikkan had statutori jumlah amaun wang yang boleh diperdapat di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 sehingga 60 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

"Tarikh kuat kuasa akta bermula pada 27 Februari 2020 sehingga 31 Disember 2022.

"Kenaikan had ini merupakan suatu langkah sementara dan akan kembali kepada had 55 peratus KDNK pada tahun 2023," katanya semasa membentangkan RUU itu.

Selain itu, katanya, RUU tersebut juga bertujuan membolehkan kerajaan menubuhkan Kumpulan Wang Covid-19 untuk membenarkan wang yang diperdapat di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 dibayar ke dalam Kumpulan Wang ini.

Ia juga bagi membolehkan wang ini digunakan dan diperuntukkan bagi program di bawah pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan ekonomi.

Tengku Zafrul berkata, Kementerian Kewangan akan menyediakan penyata terimaan dan perbelanjaan wang yang diakaunkan dalam Kumpulan Wang Covid-19 selepas berakhirnya setiap tahun kewangan dan penyata itu akan disiarkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan tahunan.

Menurutnya, dasar fiskal yang berkesan penting demi memastikan ekonomi kekal berdaya tahan seterusnya berupaya untuk menyediakan langkah kitaran balas dalam menangani kejutan luaran.

Artikel Berkaitan:

"Sebagai sebuah negara yang mempunyai ekonomi terbuka, Malaysia terdedah kepada ketidaktentuan persekitaran global seperti kemelesetan ekonomi, ketidakstabilan harga komoditi dan pasaran kewangan serta ketegangan geopolitik," katanya.

Beliau berkata, pandemik Covid-19 yang merebak dengan pantas menyebabkan hampir kesemua negara di dunia telah melaksanakan langkah pengawalan seperti pengisytiharan darurat, perintah berkurung atau perintah kawalan pergerakan.

Malaysia, katanya, telah melaksanakan beberapa fasa perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bermula dari 18 Mac sehingga 31 Ogos 2020.

"Sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab, kita tidak mempunyai pilihan. Memelihara kesejahteraan rakyat dan ekonomi merupakan sesuatu yang tidak dapat dielakkan. Lantas, kerajaan dengan nekad dan segera mengambil langkah intervensi bagi membantu rakyat dan mengelakkan ekonomi daripada terjerumus jatuh ke tahap yang jauh lebih buruk,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi bukan dibuat oleh Malaysia sahaja tetapi hampir kesemua negara di dunia yang sama terjejas mengumumkan pakej rangsangan ekonomi masing-masing bagi mengurangkan impak akibat penularan Covid-19, dengan anggaran sekitar AS$11 trilion.

Menurutnya, Indonesia mengumumkan pakej rangsangan sebanyak AS$40.3 bilion atau 3.5 peratus daripada KDNK, Thailand AS$61.2 bilion (11.8 peratus KDNK) manakala Singapura mengumumkan pakej rangsangan ekonomi yang keseluruhannya berjumlah hampir AS$65.8 bilion atau 19.6 peratus daripada KDNK.

"Justeru, kerajaan telah melaksanakan pakej rangsangan ekonomi dan pelan pemulihan ekonomi bernilai RM295 bilion atau 20 peratus daripada KDNK dengan suntikan langsung fiskal sebanyak RM45 bilion," katanya. - Bernama