Matlamat Kejohanan Jemputan BAM tercapai

Choong Hann
Choong Hann
A
A
A

PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan para pemain serta penganjuran Kejohanan Jemputan BAM yang berjaya mencapai matlamatnya.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann juga gembira melihat keterujaan dan semangat juang barisan pemain mendapatkan kembali rentak sepanjang kejohanan tertutup itu - bermula dengan Divisyen Dua pada 5 Ogos lalu.

Menurutnya, satu mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan untuk meneruskan penganjuran kejohanan jemputan sementara menunggu kejohanan antarabangsa yang tergendala susulan pandemik Covid-19 bersambung semula.

"Semua pemain menikmati dan teruja dengan pertandingan ini, nampak semangat juang mereka dalam setiap perlawanan. Memang setiap pertandingan ada menang dan kalah, tetapi kami boleh lihat kejohanan ini dihargai oleh setiap pemain.

“Mungkin belum 100 peratus dapat semula suasana kejohanan tetapi sekurang-kurangnya bagi pihak jurulatih, kami boleh ambil kesempatan ini untuk menilai jika ada kekurangan dari segi corak dan program latihan yang boleh ditambah baik. Kadang-kadang kami tidak dapat lihat ‘blindspot’ jika hanya menjalani latihan semata-mata,” katanya.

Choong Hann turut memuji prestasi pemain muda yang bijak mengambil kesempatan mempamerkan aksi cemerlang dengan mengatasi pemain lebih berpengalaman.

Dalam pada itu, Choong Hann berkata, skuad negara dilihat mempunyai sedikit kelebihan menjelang aksi Piala Thomas dan Piala Uber kerana sudah memulakan latihan dan kejohanan, berbanding beberapa negara lain yang masih bergelut menangani Covid-19.

Menurutnya, BAM juga mempunyai pilihan untuk menganjurkan simulasi kejohanan sebagai persediaan menghadapi Piala Thomas dan Piala Uber yang dijadual berlangsung di Aarhus, Denmark pada 3 hingga 11 Oktober depan.

Artikel Berkaitan:

"Ada negara yang belum memulakan persediaan penuh dengan lebih kurang enam minggu lagi (Piala Thomas dan Uber). Kami bukan yang terbaik atau paling teruk dari segi persiapan, cuma saya katakan kami perlu lakukan persiapan terbaik. Saya harap ia tidak ditangguhkan lagi,” jelasnya.