1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan

Kes rogol mencatat jumlah paling tinggi dengan 651 kes; cabul 344 kes; sumbang mahram 106 kes; luar tabii 106 kes dan kesalahan di bawah Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) sebanyak 514 kes.
Kes rogol mencatat jumlah paling tinggi dengan 651 kes; cabul 344 kes; sumbang mahram 106 kes; luar tabii 106 kes dan kesalahan di bawah Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) sebanyak 514 kes.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sejumlah 1,721 kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak direkodkan dalam tempoh Januari hingga 30 Jun tahun ini, kata Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Beliau berkata, kes rogol mencatat jumlah paling tinggi dengan 651 kes; cabul 344 kes; sumbang mahram 106 kes; luar tabii 106 kes dan kesalahan di bawah Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) sebanyak 514 kes.

Bilangan kes itu diperoleh berdasarkan rekod Polis Diraja Malaysia (PDRM), katanya.

“Kajian penanda aras yang dikeluarkan The Economist Intelligence Unit pada tahun 2019 meletakkan Malaysia di tempat ke-23 daripada 60 negara dalam usaha melindungi kanak-kanak dalam jenayah seksual ini.

“Kerajaan telah mengambil pelbagai tindakan untuk menangani isu jenayah seksual pedofilia ini termasuk pada aspek pencegahan, perundangan dan intervensi, sistem sokongan dan juga kajian dan penyelidikan lanjut untuk membantu memantapkan sistem sedia ada,” katanya pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) mengenai perincian statistik jenayah seksual kanak-kanak yang menjadi mangsa pedofilia serta usaha kerajaan menanganinya.

Siti Zailah berkata, antara program yang dilaksanakan ialah advokasi seperti kempen keselamatan kanak-kanak di sekolah (Sahabat Bijak), penggubalan Akta Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak 2017 serta penalti yang berat sehingga 30 tahun hukuman penjara dan sebat.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan proses kehakiman bagi kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak, mahkamah jenayah seksual terhadap kanak-kanak juga ditubuhkan di Putrajaya pada 2017 dan di Kuching pada 2018.

Artikel Berkaitan:

“Kementerian juga mengadakan sesi perbincangan pada 2019 bersama Kementerian Dalam Negeri, PDRM, Jabatan Imigresen Malaysia dan Kementerian Luar yang berkaitan dengan pembangunan SOP bagi memperketatkan lagi kemasukan pesalah jenayah seksual ke dalam negara.

“Kerjasama juga dilaksanakan dengan UNICEF bagi mengkaji jenayah seksual terhadap kanak-kanak (secara) dalam talian,” katanya. - Bernama