Juruteknik didenda RM2,500 ingkar kuarantin di rumah

Tertuduh mengaku bersalah melanggar perintah kuarantin di rumah di Mahkamah Majistret Balik Pulau tadi.
Tertuduh mengaku bersalah melanggar perintah kuarantin di rumah di Mahkamah Majistret Balik Pulau tadi.
A
A
A

BALIK PULAU - Seorang juruteknik kilang dijatuhi hukuman denda RM2,500 oleh Mahkamah Majistret Balik Pulau, hari ini kerana melanggar perintah kuarantin koronavirus (Covid-19) di rumah.

Majistret, Khalijah Mohd Khalid menjatuhi hukuman itu terhadap S Ramesh Kumar, 42 selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan tersebut.

Khalijah turut memerintahkan, lelaki itu menjalani hukuman penjara selama lima hari sekiranya gagal membayar denda tersebut.

"Ini adalah kes serius kerana semua orang mematuhi peraturan dengan berada di rumah selama tiga bulan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Sepatutnya anda harus mematuhi arahan dengan berada di rumah (kuarantin di rumah) selama 14 hari," kata Majistret Khalijah ketika menyampaikan penghakiman itu.

Sebelum itu, Ramesh Kumar mengaku bersalah terhadap pertuduhan melanggar perintah kuarantin di rumah dengan menghadiri pameran di Pusat Konvensyen Setia SPICE di Bayan Baru kira-kira jam 5.45 petang pada 7 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja telah gagal mematuhi perintah pengawasan dan pemerhatian yang diberikan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Oleh demikian, lelaki itu didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Artikel Berkaitan:

Kesalahan itu memperuntukkan hukuman penjara hingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Rais Imran Hamid memohon mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat terhadapnya kerana ia melibatkan kepentingan awam.

"Tertuduh tidak sepatutnya mementingkan diri sendiri dalam keadaan dirinya diarahkan supaya berada di rumah sepanjang 14 hari.

"Sekiranya orang lain boleh duduk di rumah selama tiga bulan sepanjang PKP, mengapa tertuduh tidak dapat menjalani kuarantin di rumah hanya untuk 14 hari?" katanya.

Sementara itu, peguam, Edmund Anthony Hermon dalam rayuannya meminta mahkamah menjatuhkan hukuman minimum kerana ia adalah kesalahan pertama yang dilakukan anak guamnya.

"Anak guam saya meminta maaf terhadap kesalahan yang dilakukannya dan dia sudah menyesal. Saya mohon mahkamah mengurangkan hukuman kerana tertuduh perlu menanggung isteri, ibu dan ibu mertuanya dengan pendapatan RM2,800 sebulan.

"Dia tidak tahu prosedur kuarantin yang dikenakan ke atasnya dan tidak mengetahui betapa seriusnya perkara itu," katanya.